Pelakon Bollywood Shefali Jariwala terkena serangan jantung, maut dipercayai akibat suntikan botox


  • Maya
  • Rabu, 02 Jul 2025

Shefali Jariwala disahkan meninggal dunia selepas terkena serangan jantung di kediamannya pada Jumaat lalu. — Agensi

PELAKON dan penari popular India, Shefali Jariwala, 42, dilaporkan meninggal dunia secara mengejut pada Jumaat lalu akibat serangan jantung.

Pelantun lagu Kaanta Laga dan peserta program realiti Bigg Boss 13 itu dilaporkan rebah selepas makan malam di kediamannya dan disahkan meninggal sejurus menerima rawatan hospital.

Menurut siasatan awal polis, Shefali dilaporkan berpuasa pada hari kejadian sempena upacara keagamaan Hindu dan dipercayai telah mengambil beberapa jenis ubat, termasuk tablet anti-penuaan dan suntikan vitamin dalam keadaan perut kosong.

BACA LAGI: Diberi penghormatan kedutaan UAE, gadis Nepal diiktiraf miliki tulisan tangan tercantik dunia

BACA LAGI: [VIDEO] 'Siapa cakap tak sama?' Fila Amir nafi wajah anak sulung tak serupa muka bapa asal Guinea

Hal itu dipercayai telah menyebabkan tekanan darahnya menurun secara mendadak, sekali gus membawa kepada serangan jantung.

"Dia telah mengambil suntikan petang itu, dipercayai berkaitan rawatan anti-penuaan dan juga dos pil pada waktu malam.

"Tekanan darahnya menurun secara drastik, menyebabkan mangsa menggigil sebelum rebah sebelum ahli keluarga segera membawanya ke hospital," ujar seorang pegawai penyiasat.

 

 

Terbaharu, pihak polis dilaporkan sedang meneliti penemuan kandungan titisan IV dalam perut mangsa, sejenis bahan digunakan dalam suplemen anti-penuaan yang dipercayai menjadi punca tindak balas maut.

Sekurang-kurangnya 10 individu termasuk suami, ibu bapa serta pembantu rumah yang berada di tempat kejadian telah diambil keterangan oleh pihak polis.

Tiada unsur mencurigakan ditemui setakat ini dan bedah siasat telah dijalankan di Hospital Cooper, Mumbai, India untuk menentukan punca sebenar kematian.

Pengakuan tentang rawatan anti-penuaan

Shefali dalam satu temu bual podcast sebelum ini pernah berkongsi tentang penglibatannya dalam rawatan kecantikan seperti botox dan rawatan kulit.

"Saya pro-botox dan rawatan kulit, semua orang mahu kelihatan cantik, jadi apa salahnya? Saya menjaga diri sejak muda dan itu membuahkan hasil hari ini," ujarnya.

Dia juga pernah berkongsi bahawa kecantikannya turut disokong oleh gaya hidup sihat, termasuk amalan yoga dan sama sekali tidak pernah mengambil alkohol serta makanan bergoreng.

Berita kematian itu nyata meninggalkan impak besar terhadap industri hiburan India yang amat berduka atas tragedi hitam tersebut.

Bukan sahaja diingati sebagai ikon muzik video Bollywood era 2000-an, malah Shefali juga dikenang sebagai personaliti yang lantang, ceria dan terbuka tentang tip kesihatan dan penampilannya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram