
UMUM mengetahui ibu hamil boleh terdedah kepada pelbagai jangkitan penyakit yang boleh menjejaskan kandungan janin.
Paling ketara adalah masalah Gestational Diabetes Mellitus (GDM) ataupun kencing manis sering dihadapi golongan ibu nyata meninggalkan kejutan emosi bagi mereka yang kali pertama menghidap penyakit tersebut.
Malah, tidak kurang juga yang merasakan mereka telah gagal menjaga kesihatan dan trauma untuk berdepan detik kelahiran akibat terlalu risau.
BACA LAGI: Isteri bukan cerminan kita, tapi peringatan dari ALLAH — Saharul Ridzwan
BACA LAGI: Elak makanan bergula, 'pisahkan' gajet antara 5 tip bantu si kecil tidur lebih lena — Pakar
Namun, hakikatnya GDM bukanlah satu kegagalan, sebaliknya merupakan simptom boleh berlaku kepada mana-mana wanita walaupun sihat, cergas dan menjaga pemakanan dengan baik sebelum kehamilan.
GDM boleh berlaku pada mana-mana wanita hamil biarpun mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat. — Gambar hiasan/Freepik
Kenapa GDM berlaku
Menurut kajian antarabangsa, GDM berlaku apabila hormon kehamilan mengganggu keupayaan insulin untuk menukarkan glukosa kepada tenaga dan seterusnya menyebabkan paras gula dalam darah meningkat.
Tidak hanya berpunca akibat gaya hidup tidak sihat sahaja, ia juga berkait rapat dengan perubahan hormon dan boleh berlaku walaupun pada wanita yang sihat.
GDM biasanya dikesan pada trimester kedua atau ketiga antara minggu 24 hingga 28 melalui ujian saringan glukosa darah yang dilakukan semasa pemeriksaan pranatal.
Adakah GDM bahayakan bayi?
Ramai wanita takut GDM akan memberi kesan buruk kepada bayi. Antara komplikasi yang mungkin berlaku jika ia tidak dikawal termasuklah:
- Berat bayi berlebihan yang boleh menyukarkan proses kelahiran.
- Hipoglisemia (gula rendah) pada bayi selepas lahir.
- Risiko praeklampsia, kelahiran pra-matang atau bayi terpaksa lahir melalui pembedahan.
Namun, berita baiknya ialah kebanyakan bayi dapat lahir dengan sihat jika ibu mengawal paras gula darah dengan baik
Pusat fisioterapi materniti @HBCMaternityPhysio menerusi hantaran di Threads berkongsi beberapa kaedah dan langkah pencegahan GDM.
3 langkah kawal GDM secara berkesan
1. Pemakanan terkawal dan seimbang
- Kurangkan karbohidrat ringkas seperti gula, kek, roti putih.
- Lebihkan makanan berserat tinggi seperti oat, sayur, buah berserat.
- Amalkan makan secara berkala, jangan tinggalkan waktu makan kerana ia boleh menyebabkan paras gula turun mendadak.
2. Aktiviti fizikal ringan
- Aktiviti seperti berjalan selama 10–20 minit selepas makan dapat membantu menstabilkan paras gula dalam darah.
- Yoga atau senaman ringan khas untuk ibu mengandung juga sangat membantu.
3. Pantau paras gula darah
- Gunakan glucometer untuk memeriksa bacaan gula.
- Catat bacaan setiap hari dan bawa semasa temu janji susulan di klinik kesihatan.
Dalam pada itu, penekanan turut diberikan kepada fahaman ibu hamil terhadap isu GDM kerana kebanyakannya tidak diberikan penjelasan lengkap berkaitan penyakit tersebut.
Tambahnya, diagnosis GDM boleh menimbulkan stres dan rasa cemas selain turut menjejaskan emosi ibu serta memberi kesan kepada kesejahteraan kandungan.
Justeru, Gestational Diabetes bukanlah penamat kepada kehamilan yang sihat.
Dengan pemahaman yang betul, tindakan awal dan bimbingan yang menyeluruh, kesihatan ibu-ibu masih boleh dikawal dan melahirkan bayi yang sihat tanpa sebarang komplikasi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram