[VIDEO] Dua urat jari putus ketika sediakan makanan anak, wanita kongsi detik cemas bilah 'chopper' tiba-tiba pusing sendiri


  • Maya
  • Khamis, 03 Jul 2025

Tangkap layar memaparkan keadaan jari wanita tersebut selepas dimasukkan ke hospital.

SEORANG wanita tampil berkongsi pengalaman mencemaskan selepas terlibat dalam insiden yang menyebabkan dua urat jarinya terputus sewaktu menggunakan mesin pengisar jenis cincang (chopper).

Kejadian yang berlaku dua bulan lalu itu dikongsikan menerusi hantaran di aplikasi Thread miliknya, zerazawawi pada Rabu.

Menurut wanita tersebut, kejadian berlaku sewaktu beliau sedang menggunakan pengisar untuk menyediakan makanan buat anaknya.

BACA LAGI: Lelaki terkejut jumpa serpihan kaca dalam soto, bengang respons pemilik mengaku pengisar pecah

BACA LAGI: Mesin tiba-tiba berputar sebelum operator kilang maut jatuh dalam pengisar di JB

 

 

Namun malang baginya apabila bilah dan batang pengisar tersebut tiba-tiba tercabut dari bekas, sekali gus menyebabkan penutupnya turut terbuka.

“Saya pun spontan buka dan cuba betulkan bilah yang longgar itu, sebab dah terbiasa dengan pengisar lama, jenis motor dan bekas asing. Tak tutup suis pun tak jadi apa.

"Saya lupa pengisar ini lain, motor dan wayar dah siap cantum. Masa betulkan bilah, tiba-tiba ia berpusing sendiri, padahal saya tahu sepatutnya kena tekan ke bawah baru jalan.

"Semuanya berlaku sekelip mata. Saya terkaku tengok tangan, masih gerak. Syukur, saya lari ke bilik, capai tuala dan balut.

"Sebagai kru (kabin), saya memang pernah belajar asas pertolongan cemas, itu yang terus balut dan tekan tapi darah tetap memancut habis lantai rumah," katanya.

Beliau bagaimanapun bersyukur kedua ibu bapanya kebetulan bermalam di rumah dan dapat membantu menjaga anak-anaknya.

Wanita tersebut kemudian memandu kereta untuk klinik sambil ditemani bapanya.

“Sampai klinik, terus balut luka dan saya dirujuk ke HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia), tapi sebab terlalu ramai pesakit, doktor minta ke hospital swasta,” ceritanya.

Selepas diperiksa, doktor mendapati dua urat pada satu jarinya telah putus dan memaklumkan bahawa jari tersebut tidak boleh diselamatkan jika rawatan tidak segera dilakukan.

Mujur beliau memiliki kad perubatan sendiri dan pembedahan dapat dilakukan segera.

Selepas dua bulan berlalu, wanita itu sedang menjalani sesi fisioterapi dan bersyukur kerana jarinya sudah boleh digerakkan semula, walaupun meninggalkan parut kekal.

“Saya tulis bukan untuk takutkan sesiapa tapi sebagai peringatan. Lebih baik guna pengisar lama yang mungkin susah digunakan dan dicuci, tapi dari segi keselamatan, ia lebih selamat,” pesannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram