Kesan setanding merokok, duduk terlalu lama undang risiko penyakit jantung dan kanser


  • Sihat
  • Khamis, 03 Jul 2025

Duduk berpanjangan dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung, diabetes, obesiti dan juga kanser. — Gambar hiasan

ANDA mungkin sedang menghirup kopi, berehat seketika dari kerja atau bersedia untuk tidur dan besar kemungkinan anda melakukannya sambil duduk. 

Ia kelihatan seperti perkara biasa, malah selesa. Namun pakar kesihatan kini memberi amaran tabiat duduk terlalu lama boleh mengundang pelbagai risiko kesihatan yang serius setanding dengan kesan merokok.

Menurut beberapa kajian terkini, duduk berpanjangan bukan sekadar menyebabkan sakit belakang atau sendi, sebaliknya ia dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung, diabetes, obesiti dan juga kanser.

BACA LAGI: Duduk terlalu lama perlahankan metabolisme, buat 'activity snack' tingkatkan semula kecergasan tubuh

BACA LAGI: Pekerja duduk terlalu lama berpotensi dapat hipertensi

Duduk terlalu lama boleh mengundang pelbagai risiko kesihatan serius setanding kesan merokok. — Gambar hiasan

Pakar menjelaskan, apabila seseorang duduk terlalu lama, aliran darah menjadi perlahan. 

Ia boleh menyebabkan pengumpulan asid lemak dalam saluran darah, seterusnya meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular.

Malah, satu kajian pada 2018 mendapati 82 peratus individu yang mengalami pembekuan darah menghabiskan masa duduk lebih lama berbanding 18 peratus yang tidak mengalami masalah sama.

Selain itu, duduk terlalu lama menjejaskan kemampuan badan memecahkan lemak. 

Aktiviti enzim lipoprotein lipase iaitu enzim utama dalam proses penguraian lemak akan menurun sehingga 90 peratus apabila tubuh berada dalam keadaan tidak aktif. 

Akibatnya, lemak tersimpan dalam tubuh dan tidak digunakan sebagai tenaga, seterusnya menyumbang kepada rintangan insulin dan risiko diabetes jenis 2.

asian Chinese woman walking beside riverbank in the morning with smart phone

Pergerakan kecil seperti berjalan sekejap membantu meningkatkan kadar jantung. — Gambar hiasan

30 minit senaman

Berita baiknya, kesan buruk tersebut boleh dicegah dengan pergerakan fizikal secara konsisten. 

Menurut pakar kecergasan, bersenam selama 10 hingga 15 minit bagi setiap sesi, dengan jumlah keseluruhan 30 minit sehari sudah cukup untuk meningkatkan kesihatan tubuh.

“Pergerakan kecil seperti berjalan sekejap, regangan atau menaiki tangga dapat membantu meningkatkan kadar jantung dan melancarkan peredaran darah,” jelasnya.

Selain membantu dalam penurunan berat badan dan tekanan darah, aktiviti fizikal turut membaiki kolesterol, menguatkan tulang dan otot serta membantu mengurangkan keradangan.

Ia juga terbukti mampu meningkatkan tumpuan serta meredakan tekanan, kebimbangan dan kemurungan.

 

Meja berdiri bukanlah penyelesaian menyeluruh. — Gambar hiasan

Meja berdiri

Walaupun meja berdiri atau standing desk semakin popular, ia bukanlah penyelesaian menyeluruh. 

Kajian mendapati, kekal dalam posisi statik sama ada duduk atau berdiri selama lebih 60 hingga 90 minit turut memberi kesan negatif kepada kesihatan.

“Yang penting ialah bergerak secara berkala sepanjang hari,” tambah pakar.

Satu kajian melibatkan 800,000 individu menunjukkan bahawa mereka yang duduk paling lama berisiko:

- 112 peratus lebih tinggi untuk mendapat diabetes

- 147 peratus lebih tinggi untuk mengalami penyakit jantung

- 49 peratus lebih berisiko untuk mati awal

Malah, duduk selama tiga hingga empat jam tanpa bergerak juga boleh menyebabkan pembekuan darah selain dikaitkan dengan risiko dementia dan gangguan kebimbangan.

Meskipun duduk tampak tidak berbahaya, hakikatnya ia memberi kesan jangka panjang yang serius jika tidak dikawal. 

Pergerakan ringkas di sela waktu kerja atau rehat boleh menjadi kunci pada kesihatan yang lebih baik. — The Star/HEE MAY YEE

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram