
DALAM suasana ekonomi yang kian mencabar ditambah peningkatan kos sewa, fenomena perniagaan kafe dari rumah atau home cafe kini berkembang pesat di serata Singapura.
Memetik laporan berita BERITAMediacorp, bermula sebagai idea kecil, kini ia menjadi satu gelombang perniagaan baharu yang menawan perhatian di media sosial.
Namun timbul persoalan, adakah ia sekadar trend sementara atau satu anjakan model perniagaan masa depan?
BACA LAGI: Ilham dari hujan, sentuhan kreatif wanita Taiping 'upcycle' biji kopi jadi aksesori unik
Berikut merupakan empat usahawan muda yang mengendalikan home cafe, masing-masing dengan kisah, motivasi dan strategi unik untuk kekal relevan.
1. Brewprint Coffee
Khairul Naim (kiri) dan Nur Qistina di ruang dapur rumah mereka. — Agensi
Beroperasi dari rumah di Tampines, Brewprint Coffee digerakkan oleh pasangan adik-beradik, Khairul Naim, 28, dan Nur Qistina, 25.
Minat mereka terhadap kopi mendorong keputusan untuk membuka perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah menggunakan platform penghantaran seperti Grab dan Foodpanda.
“Kami mahu kembangkan minat tanpa beban kos sewa. Jadi kami jadikan rumah sebagai titik mula,” kata Qistina.
Antara minuman unik ditawarkan termasuk Cinnamon Latte dan Black Forest Macchiato, hasil olahan rasa peribadi yang mencerminkan kreativiti mereka.
Meski tanpa kedai fizikal, pelanggan yang datang mengambil pesanan disambut mesra hingga ada yang melepak berbual selama dua jam.
2. Santai Kopi
Hid kini memilih untuk menjual kopi hanya pada acara pop-up atau sekolah. — Agensi
Bagi ibu muda yang juga pengasas Santai Kopi di Woodlands, Hid, perniagaan bukan sahaja ruang untuk meneroka minat, malah satu cara untuk kekal aktif dalam dunia pemasaran selepas menamatkan pengajiannya.
“Nama ‘Santai Kopi’ menggambarkan pendekatan saya, tapi realitinya saya sangat sibuk dari bancuh kopi hingga hasilkan kandungan semua saya buat sendiri,” ujar Hid.
Kini, beliau memilih untuk menjual kopi hanya pada acara pop-up atau sekolah, memberi lebih masa kepada keluarga dan menjaga keseimbangan hidup.
Lebih istimewa, Hid mendedahkan kewujudan komuniti kecil home cafe di Singapura yang saling menyokong, berkongsi tip melalui platform seperti A Cuppa dan kumpulan Telegram khusus.
3. Fin Coffee Co.
Ash menegaskan kepentingan mematuhi peraturan meskipun tidak memerlukan lesen khas daripada SFA. — Agensi
Beroperasi dari Tampines, Fin Coffee Co. diasaskan oleh Ash, seorang bekas barista yang membawa sentuhan budaya kopi Australia dan New Zealand ke rumahnya sendiri.
“Saya memang mahu buka stesen kopi sejak berpindah. Isteri dan kawan yang dorong saya,” katanya.
Menu utama seperti Magic Coffeemenjadi pilihan pelanggan, manakala tempahan dibuat awal melalui portal dalam talian bagi mengelak pembaziran.
Ash turut menegaskan kepentingan mematuhi peraturan meskipun tidak memerlukan lesen khas daripada Agensi Makanan Singapura (SFA).
“Kalau mahu bina kepercayaan, kena serius. Pelanggan lebih yakin bila tahu kita jaga kebersihan dan mutu,” katanya tegas.
4. Bad Tamper
Athifah di ruang dapur rumahnya di Pasir Ris. — Agensi
Menetap di Pasir Ris, pasangan suami isteri di sebalik Bad Tamper membina perniagaan berdasarkan pengalaman melancong ke Melbourne.
Warna jenama mereka iaitu biru dan merah jambu adalah simbolik kepada anak lelaki dan perempuan mereka.
“Jenama kami ceria, mesra dan penuh kasih sayang. Kami mahu pelanggan rasa selesa dan gembira,” kata pemiliknya, Athifah.
Melalui video TikTok yang menampilkan momen-momen ringkas seperti memasang bangku IKEA, Bad Tamper berjaya menarik perhatian ribuan tontonan sebelum pun rasmi beroperasi.
Kini, minuman seperti Fraise Cold Brew dan Injeolmi Matcha Latte menjadi kegemaran pelanggan.
Malah, rumah mereka pernah dijadikan lokasi sambutan hari lahir pelanggan, seterusnya bukti hubungan mesra dan kepercayaan yang terjalin.
Trend atau evolusi baharu?
Setiap pemilik home cafe yang ditemui memiliki motivasi dan pendekatan tersendiri.
Keinginan mereka untuk meneroka, berani mencuba dan menghidupkan impian di tengah ketidaktentuan ekonomi.
Daripada pemasaran digital, pengurusan masa, sehingga jalinan komuniti, home cafe bukan sekadar trend ringkas.
Ia lambang inovasi, adaptasi dan semangat keusahawanan generasi muda.
Mungkinkah perniagaan kecil itu bakal menjadi wajah baharu dunia makanan dan minuman (F&B) Singapura? Atau hanya gelombang sesaat dalam arus digital?
Namun satu yang pasti, cita rasa, cerita dan semangat mereka kini sudah menambat hati pelanggan setempat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram