
SEORANG gadis remaja dari Nepal, Prakriti Malla mencuri tumpuan seantero dunia menerusi tulisan tangannya yang sangat luar biasa dan cantik mirip janaan komputer kecerdasan buatan (AI).
Biarpun teknologi kini lebih ke arah dunia digital, namun bakat dan anugerah seni tulisan dimiliki membuatkan Prakriti kekal relevan dengan hanya berbekalkan sebatang pen dakwat.
Tulisan tangannya yang tersusun rapi dengan jarak dan simetri sempurna membuatkan ramai menyangka ia dicetak oleh komputer.
BACA LAGI: Saksi pelancaran LIMA 25 dari udara, Ahirine kongsi pengalaman selaku media rasmi TLDM
BACA LAGI: Pakar dedah risiko obesiti kanak-kanak, perlu cegah seawal 5 tahun pertama
Dalam era moden yang dikuasai oleh papan kekunci dan skrin sentuh, Prakriti mengingatkan dunia bahawa tulisan tangan masih menjadi keutamaan malah mampu menjadi satu bentuk seni yang menyentuh hati.
Tulisan tangan Prakriti meraih tumpuan pengguna laman sosial.
Kejayaan Prakriti turut meraih perhatian pihak atasan Nepal apabila Angkatan Tentera bersenjata Nepal memberikan penghormatan kepadanya atas disiplin dan keindahan dalam hasil kerjanya yang dianggap mencerminkan maruah serta budaya negara tersebut.
Lebih membanggakan, pelajar berusia 14 tahun itu diberikan penghormatan daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) susulan perutusan suratnya sempena sambutan Hari Kesatuan ke-51 negara Teluk tersebut baru-baru ini.
Surat tersebut dihantar sendiri ke Kedutaan UAE, sebagai tanda penghargaan dan hubungan persahabatan antarabangsa dua negara.
Tindakan ikhlas Prakriti mendapat pujian dan penghormatan dari pihak UAE yang menyifatkan mesejnya sebagai simbol kesenian, kedamaian dan semangat perpaduan sejagat.
Kisah Prakriti bukan sekadar tentang tulisan yang cantik, tetapi tentang kekuatan kreativiti manusia dalam menyentuh hati walau hanya dengan sebatang pen. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram