Ketua Hakim Negara wanita pertama akhiri tugas, Indira Gandhi antara 5 kes 'warnai' karier Tengku Maimun


  • Sukses
  • Khamis, 03 Jul 2025

Tengku Maimun meluahkan rasa syukur kerana dapat menamatkan enam tahun perkhidmatannya sebagai ketua badan kehakiman tertinggi negara dalam keadaan sihat dan berintegriti.

KETUA Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menamatkan hari terakhirnya di pejabat dengan tenang dan penuh makna selepas menyelesaikan dua keputusan penting, tanpa sebarang kekesalan.

Beliau pada Selasa mempengerusikan prosiding berprofil tinggi melibatkan kes pembunuhan bekas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais dan membuat keputusan penting berhubung Akta Perhimpunan Aman.

Tengku Maimun sempat meluahkan rasa syukur kerana dapat menamatkan enam tahun perkhidmatannya sebagai ketua badan kehakiman tertinggi negara dalam keadaan sihat dan berintegriti.

Baginya, berkhidmat selama enam tahun dalam keadaan sihat juga adalah satu nikmat.

BACA LAGI: [VIDEO] Nurulhidayah, suami transformasi Hotel Teedo ke penginapan mesra bajet, ibu bantu hiasan landskap

BACA LAGI: Cipta minuman berkarbonat dari rumah, ibu 3 anak catat jualan hampir 2 bilion tin dalam 18 bulan

“Tiada sebarang kekesalan kerana saya menamatkan tempoh perkhidmatan sebagai Ketua Hakim Negara. 

"Jadi, fakta bahawa saya tidak disambung enam bulan lagi, itu bukan isu langsung. Enam bulan tidak begitu signifikan jika dibandingkan dengan enam tahun,” katanya ketika sidang media di Istana Kehakiman, Putrajaya, pada Selasa.

Tengku Maimun yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-66 pada Rabu, seterusnya mencapai umur persaraan wajib, secara rasmi menamatkan khidmatnya pada pukul 5 petang Selasa. 

Pelantikannya pada Mei 2019 mencipta sejarah apabila beliau menjadi wanita pertama di negara ini yang menyandang jawatan Ketua Hakim Negara.

Mengimbas seketika kerjaya wanita tersebut, berikut lima kes menggemparkan negara yang pernah dikendalilkan Tengku Maimun sepanjang tempoh perkhidmatannya:

1) Pembunuhan Kevin Morais

Kevin Morais dilaporkan hilang pada September 2015 sebelum ditemui mati dalam keadaan mengerikan.

Pada hari terakhir bertugas, Tengku Maimun mengetuai prosiding berkaitan kes pembunuhan berprofil tinggi melibatkan bekas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais.

Kes tragis hampir sedekad lalu itu menyaksikan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati terhadap bekas pakar patologi tentera, Kolonel Dr Kunaseegaran atas kesalahan membunuh Kevin Morais.

Dua lagi individu iaitu S Nimalan, 32, dan S Ravi Chandran, 54, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 40 tahun.

Sementara itu, tiga lagi tertuduh R. Dinishwaran, 33; A.K. Thinesh Kumar, 32; dan M. Vishwanath, 35 dilepas dan dibebaskan serta-merta selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wujudnya kes prima facie terhadap mereka.

Kevin Morais dilaporkan hilang pada September 2015 sebelum ditemui mati dalam keadaan mengerikan, dengan mayatnya disumbat dalam tong dram berisi konkrit dan dibuang ke dalam paya di Subang Jaya, Selangor. 

Mendiang merupakan antara pegawai pendakwaan kanan yang ketika itu terlibat dalam kes-kes berprofil tinggi termasuk rasuah.

2) SRC International 

KUALA LUMPUR, 16 Okt -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.Najib memberi keterangan sebagai defendan dalam saman sivil US$1.18 bilion SRC International terhadapnya dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International (SRC) Nik Faisal Arif Kamil yang masih bebas.--fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib.

Tengku Maimun mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Keputusan bersejarah itu diumumkan pada 23 Ogos 2022, yang menyaksikan Najib dihantar ke Penjara Kajang dan menjadi bekas perdana menteri pertama yang dipenjarakan.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana milik SRC International.

Panel lima hakim dipengerusikan Tengku Maimun sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah. 

3) M Indira Gandhi 

IPOH, 5 Ogos -- Guru Tadika M. Indira Gandhi ketika ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi hari ini.Mahkamah Tinggi menolak permohonan kebenaran oleh Indira Gandhi untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap ketua polis negara (KPN) dan pegawai bawahannya atas dakwaan kegagalan mendapatkan semula anak perempuannya, Prasana Diksa.Pesuruhjaya Kehakiman Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet berkata keputusan itu dibuat selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak berhubung permohonan kebenaran memulakan prosiding berkaitan dakwaan kegagalan menangkap bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah serta memulangkan anak perempuan yang diambil lelaki mualaf itu, 13 tahun lepas.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pandangan Tengku Maimun menjadi asas penting pada keputusan Mahkamah Persekutuan, yang akhirnya memihak kepada Indira Gandhi.

Antara detik penting yang mewarnai karier Tengku Maimun ialah penglibatannya dalam kes melibatkan M. Indira Gandhi, seorang ibu bukan Islam yang memperjuangkan hak penjagaan anak-anaknya selepas bekas suaminya memeluk Islam dan menukar agama ketiga-tiga anak mereka secara unilateral (sebelah pihak).

Walaupun ketika itu masih menyandang jawatan Hakim Mahkamah Rayuan, beliau memainkan peranan penting dalam panel hakim yang membicarakan isu perlembagaan sensitif berkaitan penukaran agama anak oleh seorang ibu atau bapa secara sepihak.

Dalam penghakiman beliau, Tengku Maimun menekankan penukaran agama kanak-kanak mesti mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa, selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip keadilan dalam undang-undang keluarga. 

Pandangan beliau menjadi asas penting pada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018, yang akhirnya memihak kepada Indira Gandhi dan menjadi penanda aras dalam sistem kehakiman Malaysia.

4) Altantuya Shaariibuu

Tengku Maimun pernah mempengerusikan panel Mahkamah Persekutuan yang menolak semakan kehakiman dalam kes pembunuhan Altantuya (kiri).

Tengku Maimun pernah mempengerusikan panel Mahkamah Persekutuan yang menolak semakan kehakiman oleh bekas Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dalam kes pembunuhan model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Dalam semakan itu, Azilah mendakwa menerima arahan daripada pihak atasan untuk membunuh Altantuya dan mengemukakan akuan bersumpah mengejutkan. 

Namun, Mahkamah Persekutuan dipimpin Tengku Maimun memutuskan tiada asas kukuh untuk membuka semula kes yang telah melalui proses undang-undang lengkap.

Tindakan tegas beliau dalam kes berprofil tinggi tersebut memperlihatkan keteguhan institusi kehakiman negara dalam menegakkan prinsip undang-undang tanpa tunduk kepada tekanan luar atau persepsi politik.

5) Karpal Singh

Ramkarpal Singh (right), Lim Hui Ying (second right) showing the poster of the event during Press conference on Karpal Singh: A Legacy Remembered 10 Years On at Wisma DAP Pulau Pinang. (April 26,2024) —ZHAFARAN NASIB/The Star

Tengku Maimun menekankan, kenyataan dibuat Karpal adalah dalam kapasiti beliau sebagai peguam dan ahli Parlimen.

Tengku Maimun pernah mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang membuat keputusan bersejarah membebaskan mendiang Karpal Singh daripada sabitan di bawah Akta Hasutan 1948.

Dalam keputusan yang diumumkan pada 2019, mahkamah mendapati sabitan terhadap Karpal, yang didakwa kerana kenyataan berhubung krisis perlembagaan di Perak tidak menepati prinsip keadilan dan kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Tengku Maimun, yang ketika itu baru dilantik sebagai Ketua Hakim Negara menekankan, kenyataan yang dibuat Karpal dalam sidang media adalah dalam kapasiti beliau sebagai peguam dan ahli Parlimen serta tidak mempunyai unsur menghasut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram