
ANAK kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid meluahkan kekecewaan terhadap segelintir laporan media dikatakan sering menggunakan label 'anak Zahid' dalam tajuk berita melibatkan dirinya berbanding menyebut nama sebenar.
Tidak berhasrat menafikan identiti sebagai anak kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Nurulhidayah bagaimanapun berkata, beliau juga mempunyai keperibadian tersendiri wajar dikenali dengan namanya.
BACA LAGI: Cipta minuman berkarbonat dari rumah, ibu 3 anak catat jualan hampir 2 bilion tin dalam 18 bulan
"Media sering memilih menggunakan frasa 'anak Zahid' dalam tajuk atau laporan berita yang melibatkan saya dan bukannya menyebut nama penuh saya sendiri.
"Saya sedar siapa abah dan bangga menjadi anak kepada Ahmad Zahid Hamidi.
"Namun pada masa sama, saya juga seorang individu yang berdikari, punya pendapat, prinsip dan identiti sendiri," tulisnya menerusi satu hantaran di Instagram miliknya pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Exco Wanita Umno berkata, penggunaan frasa 'anak Zahid' oleh media bukan sahaja memadamkan pengiktirafan terhadap usaha dan pandangannya sebagai individu, malah menimbulkan kekeliruan terhadap identiti dirinya.
Tegasnya, setiap insan wajar dikenali dan dihormati atas nama dan usaha mereka sendiri.
"Saya percaya media mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan secara tepat, adil dan menghormati identiti setiap orang, tidak kira siapa pun ahli keluarganya.
"Saya tidak pernah minta dipandang tinggi dan dihormati tetapi gunalah nama saya (untuk penulisan), Nurulhidayah Ahmad Zahid dengan penuh etika.
"(Sama) seperti mana media menyebut nama individu lain yang menyuarakan pandangan atau terlibat dalam kerja masyarakat, politik mahupun sosial," ujarnya.
Nurulhidayah turut menyatakan keyakinan bahawa penggunaan nama individu secara tepat dalam penulisan berita merupakan sebahagian usaha memupuk budaya integriti dan profesionalisme dalam dunia kewartawanan.
“Saya tidak pernah menafikan siapa ayah, tetapi saya juga tidak akan membiarkan nama sendiri dipadamkan,” ungkapnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram