[VIDEO] Bapa terjun dari kapal persiaran Disney, selamatkan anak perempuan terjatuh dalam laut


  • Bonda
  • Rabu, 02 Jul 2025

Tangkap layar (gambar kecil) memaparkan kru penyelamat menarik anak beranak itu naik ke sebuah bot tender, selepas terjatuh dari kapal persiaran Disney Dream. — Agensi

TINDAKAN berani seorang bapa yang sanggup terjun ke laut dari dek keempat kapal persiaran Disney Dream demi menyelamatkan anak perempuannya mencuri perhatian ramai, selepas rakaman detik cemas itu tular di media sosial.

Kejadian dramatik itu berlaku pada petang Ahad ketika kapal berkenaan dalam pelayaran dari Bahamas menuju ke Amerika Syarikat (AS).

Menurut saksi, insiden bermula apabila si bapa cuba merakam gambar anaknya berhampiran pagar penghadang sebelum kanak-kanak itu tiba-tiba terjatuh ke laut.

BACA LAGI: [VIDEO] Dari temu bual ke rakan kongsi spa, kolaborasi Tyra dan Raja Amanda mampu raih lebih RM100,000 sebulan

BACA LAGI: Cipta minuman berkarbonat dari rumah, ibu 3 anak catat jualan hampir 2 bilion tin dalam 18 bulan

 

Tanpa berfikir panjang, lelaki berkenaan dilaporkan segera melompat ke laut untuk menyelamatkan anaknya.

Pasangan anak-beranak itu dipercayai berada dalam air selama hampir 10 minit sebelum kru penyelamat berjaya menarik mereka naik ke sebuah bot tender.

“Kapal itu bergerak sangat laju. Mereka yang jatuh tersebut terus kelihatan seperti titik kecil di tengah laut dan akhirnya hilang dari pandangan,” kata penumpang, Laura Amador yang menyaksikan insiden itu.

Tambahnya, kapten kapal segera memperlahankan kelajuan dan berpatah balik sebelum menghantar bot penyelamat bersama kru ke lokasi mereka terjatuh.

“Kami lihat sendiri mereka selamatkan bapa dan anak itu, ia satu kelegaan besar,” katanya memetik laporan CBS News.

Rakaman video itu turut menunjukkan penumpang lain bersorak lega apabila kedua-dua mangsa berjaya dibawa naik ke bot penyelamat.

Identiti bapa dan anak itu masih belum didedahkan. Bagaimanapun, laporan media tempatan menyebut bahawa kanak-kanak berkenaan masih kecil.

Kapal Disney Dream yang mampu membawa 4,000 penumpang ketika itu sedang dalam perjalanan pulang ke Fort Lauderdale, Florida selepas empat hari belayar mengelilingi Bahamas.

Pihak Disney Cruise Line dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian tersebut dan memuji kecekapan kru kapal mereka.

“Kru Disney Dream bertindak pantas menyelamatkan dua tetamu yang terjatuh ke laut.

"Kami memuji kepantasan dan kemahiran tinggi mereka yang memastikan kedua-dua individu itu berjaya kembali ke kapal dalam tempoh beberapa minit,” jelas jurucakap syarikat itu.

Penumpang lain, Gar Frantz, turut berkongsi pengalaman menyaksikan detik cemas itu kepada pihak media.

“Kami nampak dua titik kecil, ia amat mengerikan, seolah-olah mereka akan hilang begitu sahaja,” ujarnya.

Insiden berlaku pada hari terakhir pelayaran dan kapal kembali ke pelabuhan seperti biasa tanpa sebarang kelewatan.

Walaupun kejadian seperti itu jarang berlaku, namun usaha menyelamat selalunya berdepan cabaran besar.

Menurut laporan Cruise Lines International Association pada 2019, seramai 25 individu dilaporkan terjatuh dari kapal persiaran dalam tempoh setahun, namun hanya sembilan berjaya diselamatkan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram