SEORANG operator kilang maut selepas terjatuh ke dalam sebuah mesin pengisar membuat mozek di Taman Perindustrian Nusa Cemerlang di Iskandar Puteri, dekat Johor Bharu, Johor pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komissioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki berkenaan, Fenddy Asim, 19, meninggal dunia akibat kecederaan di kepala dan bahu.
"Ketika kejadian kira-kira 11.30 pagi, mangsa (Fenddy) sedang tunduk melakukan pembersihan pada mesin tersebut dan secara tiba-tiba mesin itu telah berputar menyebabkannya terjatuh lalu kepala dan bahunya terkena mesin.
"Seorang rakan sekerja mangsa yang menyaksikan kejadian tersebut bergegas mematikan suis mesin dan kemudian memanggil rakan sekerja lain untuk membantu mengeluarkan mangsa dari dalam mesin tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dzulkhairi berkata, Fenddy dibawa ke klinik berhampiran pada 11.35 pagi untuk rawatan namun dia yang berlumuran darah di bahagian kepala dan telinga, disahkan meninggal dunia oleh doktor.
"Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu tidak melibatkan sebarang kesalahan jenayah. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, di sini untuk ujian calitan Covid-19 dan bedah siasat," katanya.
Beliau berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram