
NAMA ahli matematik muda China, Wang Hong kini menjadi sebutan dunia selepas muncul sebagai calon utama Anugerah Fields 2026, susulan kejayaan luar biasa menyelesaikan konjektur Kakeya, yang tidak terjawab sejak lebih 100 tahun lalu.
Konjektur Kakeya ialah satu persoalan dalam bidang analisis matematik dan geometri, yang berkaitan dengan saiz minimum kawasan atau isipadu diperlukan untuk memutar satu objek.
Anugerah Fields yang sering disamakan dengan Hadiah Nobel untuk matematik, diberikan setiap empat tahun sempena Kongres Antarabangsa Ahli Matematik (ICM) kepada tokoh muda berusia bawah 40 tahun mencatat pencapaian cemerlang dan berpotensi besar dalam bidang tersebut.
BACA LAGI: Cipta minuman berkarbonat dari rumah, ibu 3 anak catat jualan hampir 2 bilion tin dalam 18 bulan
Ketokohan Hong diiktiraf IIHES di Perancis yang melantiknya sebagai Profesor Tetap Matematik. — Agensi
Hong, 34, mula mencuri perhatian selepas menerbitkan kertas kerja sepanjang 127 muka surat pada Februari lalu, yang mengetengahkan penyelesaian kepada versi tiga dimensi konjektur Kakeya, sekali gus meletakkannya sebagai calon utama untuk anugerah berkenaan.
Menurut laman ramalan dinamik sosial global Manifold, Hong kini mendahului senarai calon paling berpotensi.
Keputusan itu mencetuskan harapan tinggi bahawa beliau bakal menjadi wanita China pertama memenangi Anugerah Fields dalam sejarah negara tersebut.
Ketokohan Hong turut diiktiraf Institut Kajian Saintifik Tinggi (IHES) di Perancis yang melantiknya sebagai Profesor Tetap Matematik.
Siri syarahan beliau di universiti terkemuka seperti Universiti Peking, Universiti Tsinghua dan Akademi Sains China sering dipenuhi khalayak yang kagum terhadap pendekatannya.
Dalam satu syarahan, Hong diperkenalkan oleh ahli matematik tersohor dan penerima Anugerah Fields, Yau Shing Tung, yang menyifatkan dirinya sebagai antara sarjana penting dalam generasi baharu China.
Shing Tung turut meluahkan keyakinan bahawa Hong layak menerima penghormatan tertinggi tersebut.
"Jika berjaya, Hong akan menjadi pemenang pertama yang lahir sepenuhnya daripada sistem pendidikan China," katanya.
Hong tidak pernah menyertai latihan formal untuk pertandingan matematik. — Agensi
Konjektur Kakeya
Konjektur Kakeya mula dikemukakan pada 1917 dan sering digambarkan dalam bentuk visual mudah.
Hong menyelesaikan persoalan itu bersama rakan penyelidiknya, Joshua Zahl daripada Universiti British Columbia.
Pegang sebatang pensel di udara, kemudian halakan ia ke setiap arah dengan pergerakan yang meminimumkan jumlah ruang dilalui.
Meskipun kedengaran mudah, masalah tersebut selama ini menjadi teka-teki besar dalam bidang geometri dan analisis matematik.
Melalui kajian menyeluruh mereka, Hong dan Zahl berjaya menetapkan batas mutlak terhadap saiz minimum pergerakan tersebut dalam ruang tiga dimensi, pencapaian yang sebelum ini gagal diselesaikan walaupun oleh ahli matematik tersohor dunia.
Kejayaan itu tidak datang secara tiba-tiba, sebaliknya dibina atas asas kajian terdahulu oleh sarjana terkenal Piawaian Perakaunan Antarabangsa (IAS) seperti Jean Bourgain dan Larry Guth.
Sumbangan mereka, terutamanya dalam menganalisis struktur set Kakeya, menjadi pemangkin kepada pencapaian Hong dan Zahl.
Tiada latihan formal
Berbeza dengan kebanyakan ahli matematik hebat yang muncul daripada program-program elit atau pertandingan antarabangsa, Hong membuktikan bahawa belajar sendiri juga mampu membawa kejayaan besar.
“Saya tidak pernah menyertai latihan formal untuk pertandingan matematik.
"Sebaliknya, saya menjadikan buku-buku perpustakaan sebagai guru utama sepanjang perjalanan intelektual ini," ujarnya.
Hong menyelesaikan persoalan itu bersama rakan penyelidiknya, Zahl. — Agensi
Peranan global
Dilahirkan pada 1990, Hong diterima masuk ke Jabatan Geosains Universiti Peking pada usia 16 tahun selepas mencatat keputusan cemerlang, iaitu 653 markah dalam peperiksaan masuk universiti kebangsaan China.
Namun, minatnya terhadap matematik membuatkan beliau bertukar ke jabatan matematik tidak lama kemudian.
Beliau kemudiannya meraih ijazah kejuruteraan daripada Ecole Polytechnique di Perancis, ijazah sarjana daripada Universiti Paris-Sud dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Amerika Syarikat.
Beliau juga berkhidmat sebagai Profesor Madya di Institut Sains Matematik Courant, Universiti New York (NYU) sejak Julai 2023 dan akan menyertai semula NYU sebagai Profesor Matematik Tetap pada September ini, selain peranannya di IHES.
Kejayaan Hong bukan sahaja membuktikan kemampuannya menembusi lapisan tertinggi dunia matematik antarabangsa, malah membuka jalan kepada penglibatan wanita dalam bidang STEM, khususnya dalam matematik yang sekian lama dianggap dimonopoli lelaki.
Jika Anugerah Fields menjadi miliknya pada 2026, Hong bukan sahaja akan mengukir sejarah, tetapi turut menjadi simbol perubahan dalam landskap saintifik global. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram