[VIDEO] 'Bali bukan untuk dijual', wanita suarakan kebimbangan terhadap komersialisasi 'tanah suci'


  • Maya
  • Khamis, 03 Jul 2025

Purnama berkata, tanah Bali telah dijaga oleh nenek moyang mereka selama berabad-abad. — Instagram/purnama.world

SEORANG wanita berasal dari Indonesia meluahkan kebimbangan terhadap trend terkini pelaburan hartanah oleh warga asing yang berisiko menggugat kelestarian alam sekitar dan warisan spiritual pulau itu.

Dikenali sebagai Purnama Melissa, penyanyi dan penulis lagu berketurunan Bali-Switzerland itu menegaskan, Bali kini semakin dikomersialkan untuk kepentingan peribadi.

"Bali bukan untuk dijual. Anda menganggap tanah suci kami sebagai komoditi,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram miliknya, baru-baru ini.

BACA LAGI: Persis panorama di Eropah, Bromo dan Bogor jadi destinasi pilihan percutian keluarga, rupiah jatuh buat ramai mahu serbu Indonesia

BACA LAGI: Gembira naik motor di Bali, Indonesia mungkin destinasi baharu Ronnie Fernandez musim depan

 

 

Beliau menceritakan dua pengalaman yang membuka matanya tentang perkara tersebut.

Menurutnya, seorang kenalan lama yang juga warga asing, berkongsi tentang pembinaan 10 vila di destinasi pelancongan popular, Uluwatu.

Kawasan itu jelasnya, tidak mempunyai sumber air tanah mencukupi untuk menyokong pembangunan berterusan.

"Air terpaksa dihantar secara berkala menggunakan tangki, ia sesuatu yang tidak mampan untuk bumi, apatah lagi Bali.

"Seorang lagi warga asing menyatakan dirinya berhenti kerja untuk membangunkan vila di Bali kerana ia dianggap trend semasa.

“Saya melihat iklan bersepah-sepah, antaranya beli vila, untung dengan platform penginapan, pulangan pelaburan 12 peratus. Tanah kami jadi produk, bukan lagi pusaka,” tambahnya.

Hantaran itu menyorot fenomena kian membimbangkan di Bali, iaitu pembangunan melampau yang didorong oleh pelaburan luar tanpa memikirkan impak kepada alam sekitar dan komuniti tempatan.

Tegas wanita itu lagi, tanah tersebut telah dijaga oleh nenek moyang mereka selama berabad-abad.

"Anda datang ke sini menyatakan ia boleh memberi kesembuhan (jiwa), tetapi satu-satunya perkara yang anda fikirkan ialah cara untuk mengambil, bukan memberi,” ungkapnya.

Purnama menyeru agar masyarakat tidak terus menjadi sebahagian daripada masalah. — Instagram/purnama.world

Wanita itu turut mengkritik individu yang menggelarkan diri sebagai spiritual, tetapi pada masa sama menebang pokok-pokok tua dan membina struktur konkrit demi keuntungan.

“Tiada apa-apa yang spiritual tentang menghancurkan tanah suci,” ujarnya.

Mengakui realiti ekonomi dan keperluan hidup, wanita itu turut menyuarakan simpati terhadap warga tempatan yang terpaksa menjual tanah demi kelangsungan keluarga.

Namun, beliau yakin penyelesaian lebih lestari dapat dicapai jika komuniti termasuk warga asing bekerjasama untuk mencari model ekonomi yang tidak memusnahkan identiti tanah.

“Saya yakin jika semua bersatu dengan dana, sumber dan ilmu, kita boleh wujudkan sistem yang menyokong keluarga tempatan dan tanah ini,” katanya.

Purnama menambah, isu yang sama sedang berlaku di Hawaii dan Sepanyol.

Wanita itu turut menyeru agar masyarakat tidak terus menjadi sebahagian daripada masalah, tetapi bertindak sebagai sebahagian daripada penyelesaian.

“Ia bukan sekadar tentang tanah. Ini tentang menghormati roh yang menjadikan sesuatu tempat itu ‘rumah’.

"Bagi kami di sini, Bali adalah tanah yang suci,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram