PM Thailand digantung tugas susulan skandal panggilan telefon bocor


  • Maya
  • Selasa, 01 Jul 2025

Paetongtarn kini disiasat NACC atas dakwaan pelanggaran etika. — Agensi

PERDANA Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra digantung daripada menjalankan tugas rasmi oleh Mahkamah Perlembagaan negara itu susulan siasatan terhadap satu panggilan telefon yang bocor melibatkan beliau dan seorang bekas pemimpin Kemboja.

Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel hakim pada Selasa selepas menerima petisyen yang mendakwa Paetongtarn melanggar etika sebagai penjawat awam. 

Seramai tujuh daripada sembilan hakim turut bersetuju agar beliau digantung daripada tugas buat sementara waktu.

BACA LAGI: PM wanita paling muda Thailand seru rakyat bertenang kemungkinan gegaran susulan gempa bumi kuat di Myanmar

BACA LAGI: Perdana Menteri Thailand, Duta Besar Filipina ke Malaysia antara pemimpin wanita hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-46

Skandal berkenaan tercetus selepas satu rakaman panggilan telefon bocor ke pengetahuan umum, dengan Paetongtarn didakwa terlibat dalam perbualan sensitif ketika rundingan diplomatik berkaitan pertikaian sempadan dengan Kemboja.

Insiden pada 28 Mei itu melibatkan konfrontasi bersenjata di kawasan sempadan, menyebabkan seorang anggota tentera Kemboja terbunuh. 

Rentetan itu, pentadbiran Paetongtarn berdepan kritikan hebat dan tekanan daripada pelbagai pihak, termasuk protes jalanan dan aduan rasmi terhadap integriti beliau.

Mengulas perkembangan itu, Paetongtarn pada Isnin berkata, beliau akan akur dengan proses mahkamah.

“Kalau tanya sama ada saya bimbang, memang saya bimbang,” katanya kepada media, sambil menyuarakan rasa kecewa kerana kerja beliau sebagai perdana menteri kini terganggu.

Dalam pada itu, Raja Maha Vajiralongkorn telah memperkenan rombakan Kabinet susulan tindakan Parti Bhumjaithai menarik diri daripada kerajaan campuran. 

Rombakan tersebut menyaksikan pengunduran bekas Timbalan Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul yang juga ketua parti itu.

Paetongtarn kini turut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACC) atas dakwaan pelanggaran etika yang berpotensi menamatkan kerjayanya sebagai pemimpin negara.

Kemarahan rakyat memuncak bukan sahaja kerana kandungan panggilan tersebut, tetapi juga disebabkan komen Paetongtarn terhadap seorang komander tentera yang lantang serta percubaan beliau untuk berdamai dengan Presiden Senat Kemboja, Hun Sen.

Lebih 10,000 penunjuk perasaan yang rata-ratanya beraliran konservatif dan nasionalis dilaporkan berhimpun di pusat bandar Bangkok pada Sabtu lalu bagi mendesak beliau berundur dari jawatan.

Kes itu dijangka memberi impak besar kepada landskap politik Thailand yang sedia bergolak, dengan keputusan rasmi mahkamah bakal menentukan nasib Paetongtarn dalam waktu terdekat. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram