
TINDAKAN segelintir pusat spa dan kecantikan yang cenderung menghantar mesej promosi berulang kali kepada pelanggan melalui aplikasi WhatsApp menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai.
Tujuan asal mesej itu, kononnya untuk memaklumkan pelbagai perkara termasuk promosi istimewa, pembukaan cawangan baharu atau penebusan baucar.
Namun apabila dilakukan secara terlalu kerap, ia mula berubah menjadi gangguan.
BACA LAGI: Haid teratur tiap bulan tak semestinya subur, berisiko hidap PCOS, sukar hamil — Pakar
Tujuan asal mesej adalah untuk memaklumkan mengenai promosi istimewa spa dan sebagainya. — Gambar hiasan
Bagi sesetengah pelanggan, pendekatan itu dirasakan melampaui batas, lebih-lebih lagi apabila mesej dihantar hampir setiap hari, meskipun tidak pernah dilayan atau dibalas.
Seperti dikongsikan seorang pengguna aplikasi Thread, beliau mengakui kurang gemar akan tindakan sebuah pusat kacantikan yang menghantar mesej kepadanya.
Wanita berkenaan menyindir kaedah promosi spa itu yang dianggap keterlaluan dan mengganggu.
“Terdesak sangat ke spa ni nak cari pelanggan? Terkejut tiba-tiba tanya nak datang jam berapa. Mungkin sistem automatik, tapi ramai kata rawatan pun tak menjadi,” tulisnya.
Ruangan komen pada hantaran itu turut dibanjiri pengalaman serupa daripada pengguna lain mendakwa menjadi ‘mangsa’ mesej bertalu-talu daripada spa yang sama.
“Dulu tiap bulan aku dapat WhatsApp daripada satu klinik estetik ni, tiba-tiba tanya, ‘hari ini datang pukul berapa?’
"Aku dah balas tak nak pun dia tetap mesej. Tak balas mesej, dia telefon pula. Akhirnya aku block terus, tenang hidup," ujar Adiana.
Turut berkongsi pengalaman sama, fatinnatasya_ yang mengakui pernah diganggu staf spa yang sama, sewaktu beliau bekerja.
“Dulu saja tanya sebab katanya ada rawatan percuma. Lepas itu dah tetapkan temu janji tapi batal sebab kena balik kampung.
"Lepas itu hari-hari dia telefon, tengah kerja pun sama. Tidak cukup dengan itu, dia WhatsApp lagi. Tak cukup satu nombor, nombor ibu pejabat pun dia guna untuk telefon, terus aku block,” ceritanya.
Sementara itu, jelas Axlankami, walaupun menghantar mesej untuk tujuan perniagaan adalah sesuatu yang dibenarkan, kaedah tersebut harus dilakukan secara beretika dan menghormati ruang peribadi pengguna.
“Lebih baik jika mesej hanya dihantar kepada mereka yang benar-benar bersetuju menerima info atau yang telah melanggan notifikasi.
"Apabila mesej dihantar secara rawak atau terlalu kerap, ia bukan sahaja mengganggu malah menjatuhkan imej jenama itu sendiri,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram