
BERMULA dengan hanya 12 jenis haruman, produk minyak wangi DAFT kini memiliki 80 aroma terdiri daripada pelbagai 'notes' antaranya floral, fruity, fresh, woody dan musky.
Menariknya, semua wangian itu diformulasi semula oleh sekumpulan tiga beradik - Adila Kamarulzaman, Qistina dan Maisarah dengan seorang sahabat baik mereka, Adam Mohd Nasir D Mackenzie yang juga merupakan pengasas bersama.
Diasaskan pada 2022, bisnes itu bermula ketika pandemik Covid-19 melanda negara yang menyaksikan mereka kehilangan kerjaya dan profesion dalam bidang masing-masing.
BACA LAGI: Dari temu bual ke rakan kongsi spa, Tyra dan Raja Amanda mampu raih lebih RM100,000 sebulan
Adila (kiri), Maisarah (tengah) dan Qistina mempelajari pembuatan minyak wangi daripada perfumery berpengalaman.
Adila, 39 dan Adam, 40 yang memiliki latar belakang pengurusan acara bersama Qistina (bekas arkitek) serta Maisarah (kakitangan korporat dalam bidang pembangunan perniagaan), mula mencari sesuatu untuk diusahakan sebelum terlibat dalam pembuatan minyak wangi.
Bermula secara sambilan, keempat-empat mereka akhirnya membuat keputusan untuk memberi komitmen sepenuhnya terhadap jenama DAFT setelah menerima sokongan awal daripada pelanggan.
DAFT menekankan keunikan produk dengan mengeluarkan wangian berbentuk parfum, mengandungi peratusan pati haruman yang lebih tinggi berbanding alkohol biasa.
"Jadi wangian ini boleh tahan lama sehingga 48 jam pada fabrik dan 16 jam pada kulit, namun bergantung kepada cara pemakaian dan tubuh masing-masing," katanya.
Mereka juga peka terhadap keperluan pengguna yang memiliki toleransi rendah terhadap alkohol. Oleh itu, DAFT turut memperkenalkan rangkaian bebas alkohol, khas untuk individu yang menghidap ekzema, kulit sensitif, dan masalah seumpamanya.
"Pati wangian ini diimport dari Eropah tapi kami buat formulasi semula di sini katanya yang mempelajari seni pembuatan wangian mewah daripada perfumery berpengalaman," kata Qistina.
Antara cabaran utama yang dihadapi mereka ialah bagaimana mahu menjelaskan karakter sesuatu haruman secara dalam talian, tanpa pelanggan dapat mencium bau terlebih dahulu.
“Kami perlu lebih kreatif dari segi penulisan dan penerangan, agar pelanggan dapat membayangkan wangian sebelum membuat pembelian.”
Bagi mengatasi cabaran ini, DAFT memperkenalkan sampel percuma untuk setiap pembelian, sebagai satu strategi pemasaran dan juga pendekatan mesra pelanggan.
"Ini sekali gus memudahkan pembelian semula, kerana pelanggan dapat mencuba pelbagai jenis aroma minyak wangi sebelum membuat keputusan," katanya.
Strategi itu juga, kata Qistina dapat membantu pelanggan untuk membuat pembelian seterusnya dengan lebih mudah.
Sementara itu, bagi mendekatkan diri dengan pelanggan, Adila berkata, mereka juga akan menyertai pop-up booth supaya jenama DAFT lebih dikenali ramai.
Pada masa sama, mereka juga amat menitikberatkan pembelian semula kerana ia antara lain memberi penanda aras terhadap kesetiaan pengguna
"Masa kami mula pada 2022, pelanggan kami yang buat repeat purchase kira-kira 20 peratus tapi sekarang dah cecah 80 peratus," ujar Qistina sambil memberitahu, DAFT memiliki kira-kira 35,000 pelanggan setia seluruh negara.
Pencapaian yang dikecapi dalam tempoh dua tahun setengah itu tidak datang bergolek kerana mereka turut berdepan dengan pelbagai cabaran dan merasai fasa jatuh bangun sebagai usahawan.
Sarah berkata, dalam kalangan mereka sebagai adik-beradik tentunya tak lari daripada perselisihan faham serta pendapat, namun demi mencapat matlamat syarikat, perbalahan itu diketepikan.
“Gaduh adik-beradik itu biasa, lagi-lagi bila buat bisnes bersama. Macam Adila dan Qistina, mereka seperti 'Tom & Jerry'. Jadi sebagai anak bongsu, saya lebih neutral dan akan cuba tenangkan Adila yang juga kakak sulung dan Qistina (anak ketiga) andai timbul sedikit perbalahan.
"Kami memang kadang-kadang berbeza pendapat, tapi kami tak simpan dalam hati. Tak ada istilah berminggu-minggu tak bercakap atau menyimpan dendam. Itu antara didikan ibu yang kami pegang hingga kini.
"Macam dengan Adam pula, kami berkawan lama dan hubungan persahabatan yang terjalin lebih 15 tahun ini sudah akrab malah memahami cara kerja masing-masing," kata Sarah.
Sepanjang hampir tiga tahun menjalankan perniagaan, DAFT sudah mempunyai kira-kira 35,000 pelanggan setia seluruh negara.
Dalam pada itu, berbicara mengenai rancangan seterusnya, Sarah berkata, mereka bercadang untuk menambah dua hingga tiga lagi produk menjelang suku keempat tahun ini.
"Ia mengambil sedikit masa sebab perlu lalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D).
"Kami juga juga harap nak kembangkan portfolio dalam industri dari segi aktiviti B2B (business-to-business) dan B2C (business-to-consumer).
"Sebagai contoh, kami berhasrat untuk supply minyak wangi ini sebagai wedding gift atau corporate gift bagi mana-mana pihak yang berminat mengadakan kolaborasi," kata Sarah.
Dalam pada itu, Adila berkata, DAFT My Enterprise juga berhasrat untuk meneroka pasaran luar seperti Indonesia, Singapura dan Filipina, namun usaha ke arah itu perlu diteliti dan diperhalusi lagi.
"Ada cabaran sikit sebab kami kena fahami rules and regulations serta pelesenan negara-negara terbabit memandangkan produk wangian ini dalam bentuk cecair.
"Bagi bergerak ke arah itu juga, kami bercadang untuk memperkenalkan wangian signatur tersendiri DAFT yang bukan 'inspired' atau 'reformulate'.
"Insya-ALLAH, kalau ada rezeki kami cadang untuk suku pertama tahun depan," ujarnya.
Produk haruman DAFT boleh didapati dalam bentuk 10 mililiter (ml) dan 30 ml di laman web DAFT dan TikTok Shop. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel danTelegram