
BERMULA dengan mesin kopi bernilai RM1,500 dan mengambil tempahan secara kecil-kecilan, Ahmad Kamil Noordin, 41, kini boleh berbangga apabila dapat memiliki kios kopi sendiri di bawah Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Perjalanannya sebagai penjual kopi sambilan bermula sekitar 2020, ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
Ketika itu, Ahmad Kamil, sudah pun sudah menjalankan perniagaan perkhidmatan spa bergerak bersama rakannya dengan dia bertanggungjawab untuk menjaga sistem perakauan kewangan syarikat.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
Bagaimanapun, dengan masa terluang yang dimiliki ketika pandemik akibat pelaksanaan sekatan pergerakan, bapa kepada tiga orang anak itu membuat keputusan mula menjual kopi botol.
“Waktu tu saya buat dari rumah sahaja, pakai mesin biasa. Saya jual kopi botol dan hantar ke pejabat sekitar KL.
"Seminggu boleh hantar dalam 40 botol,” katanya yang tinggal di Taman Gombak Ria, Batu Caves Selangor.
Kopi MM turut membuka gerai di acara sekitar Lembah Klang mengikut permintaan.
Minatnya terhadap kopi sudah lama bermula lama sejak masih belajar di bawah program Certified Accounting Technician di Kolej Poly-Tech MARA.
Dalam pada itu, pendedahannya kepada kopi turut berkembang ketika bekerja selama dua tahun sebagai barista di salah sebuah rangkaian kafe tempatan pada sekitar 2010.
Permohonan ditolak berkali-kali sebelum dapat kios
Selepas beberapa tahun bergerak secara sambilan, Ahmad Kamil kemudiannya mula serius mengembangkan perniagaan kopinya selepas berjaya mendapatkan tapak kios melalui permohonan kepada MPS awal tahun ini.
“Sejak mula berniaga, saya sebenarnya dah mohon beberapa kali, tapi tak lepas. Akhirnya Januari tahun ini ni baru dapat tapak yang hanya 500 meter dari rumah.
"Memang rezeki,” katanya yang kini mengusahakan kios dengan waktu operasi dari pukul 6 petang hingga 12 malam.
Dengan beralih operasi di kios, dia yang juga anak jati Gombak turut menambah baik perkhidmatan dengan membeli mesin kopi baharu berharga RM9,000.
Kini, Ahmad Kamil mampu menghasilkan sekitar 200 hingga 500 cawan kopi sebulan bergantung kepada musim tertentu.
“Bulan puasa hari tu jualan mencecah RM500 sehari. Sekarang lepas raya dah turun sikit, dalam RM200–RM300 sehari,” kongsinya.
Menu kopi paling mahal dapat sambutan paling tinggi
Suasana di gerai Kopi MM pada waktu malam.
Walaupun mengakui perlu bersaing dengan banyak kedai kopi lain yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan ketika ini, Ahmad Kamil percaya kekuatannya adalah pada harga dan kualiti.
Menu di kiosk Kopi MM ditawarkan pada harga berpatutan antara RM7 hingga RM13 dengan pilihan pelbagai jenis kopi termasuk ice-blended.
Namun, yang mengejutkan apabila minuman paling laris di kedainya adalah hidangan kopi paling mahal dalam menunya iaitu ais karamel macchiato.
“Saya rasa sebab presentation dan rasanya. Orang sanggup bayar lebih sikit (untuk ais caramel macchiato),” katanya.
Buat masa ini, Ahmad Kamil berkata, dia mengusahakan kios tersebut seorang diri sambil dan akan dibantu oleh isterinya jika menerima jumlah pelanggan ramai.
Pada masa sama, dia turut merancang bagi memperkenalkan lebih banyak menu makanan selain croffle, soft cookies, muffin dan pastri.
Ahmad Kamil turut berkongsikan hasrat untuk membuka lebih banyak gerai kios Kopi MM dengan bantuan daripada rakan niaganya yang lain.
Namun, dia mengakui memerlukan masa untuk merealisasikan rancangan itu lebih-lebih lagi dengan mengmabil cabaran mengekalkan kualiti selepas pengembangan operasi.
“Kopi ni bukan boleh buat cincai. Kalau kita tak jaga betul-betul, rasa dia lari. Sebab tu saya sebenarnya lebih berhati-hati kalau nak ambil staf,” jelasnya yang turut mengambil tempahan untuk membuka gerai di acara sekitar Lembah Klang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram