
SIAPA sangka musim hujan yang sering membasahi bumi Taiping, sebuah daerah di Perak menjadi inspirasi buat Gillian Ng Siew Lee untuk menghasilkan aksesori bertemakan bandar itu.
Jika di Malaysia, Taiping adalah kawasan paling banyak menerima hujan iaitu kira-kira 2,540 hingga 5,080 milimeter (mm) purata hujan setiap tahun.
Jadi tidak hairanlah wanita berusia 38 tahun itu memperoleh ilham daripada titisan air hujan untuk menjadikannya sebagai salah satu koleksi di bawah jenama Matcher by Gil.
Payung kecil dan daun teratai antara aksesori bertemakan bandar Taiping di bawah koleksi Matcher by Gil.
“Salah satu koleksi yang dihasilkan ialah bertemakan bandar Taiping yang juga tempat kelahiran saya. Ia bukanlah suatu tempat yang asing, sebaliknya cukup dekat dengan diri saya.
“Jadi saya terfikir untuk menghasilkan aksesori yang sinonim dengan bandar ini, maka tercetuslah subang berbentuk daun teratai, titisan air hujan dan payung kecil,” katanya kepada Majoriti.
Berkecimpung dalam seni pertukangan aksesori sejak tiga tahun lalu, Gillian bukanlah nama asing dalam penataan gaya wanita.
Manakan tidak, dia pernah bergelar pereka fesyen selama 12 tahun selain pernah berkhidmat dengan sebuah jenama dekorasi kediaman terkemuka yang berpangkalan di Singapura.
Pengalamannya dalam kedua-dua bidang tersebut memberi jalan buat graduan Diploma Lanjutan Rekaan Fesyen dari Kolej Tunku Abdul Rahman (kini dikenali TAR University of Management and Technology) untuk mengukuhkan namanya menerusi jenama sendiri.
“Saya banyak bermain dengan fabrik ketika bergelar seorang pereka fesyen. Memotong kain dan menjahit pakaian sudah menjadi sebahagian daripada diri saya.
“Di sebalik itu, apa yang saya perasan, ramai orang beli bermacam-macam jenis pakaian namun tidak semua pandai menggayakannya.
Aksesori bermotifkan batik mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
“Penataan gaya sebenarnya akan lebih menyerlah apabila anda mengenakan aksesori seperti cincin, gelang, anting-anting, rantai dan sebagainya.
“Ia akan menjadikan penampilan anda lebih menonjol dengan sentuhan gaya tersendiri,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai produk aksesori yang dihasilkan, Gillian berkata, dia menggunakan tanah liat, resin, dawai yang digabungkan dengan batu permata lain seperti quartz, kristal, mutiara dan opal.
Setiap satu daripada aksesori yang dihasilkan memiliki makna tersendiri dan dikeluarkan dalam kuantiti terhad untuk memastikan eksklusiviti kepada pemakai.
Menurut Gillian, selain tema bandar Taiping, dia juga menghasilkan aksesori bertemakan koleksi batik dan kopi yang juga menyuntik elemen kraf tempatan.
“Koleksi aksesori batik mendapat permintaan yang tinggi namun ia mengambil masa sedikit lama untuk dihasilkan,” katanya sambil memberitahu, proses tersebut memakan masa sehingga empat hari.
Biji kopi antara barangan yang dikitar semula secara kreatif menjadi aksesori seperti cincin dan subang.
Bagi koleksi kopi pula, Gillian menggunakan dua kaedah iaitu serbuk kopi yang diadunkan bersama polimer tanah liat dan biji kopi sebagai hiasan menggantikan batu permata.
“Koleksi ini sedikit unik kerana ia menggunakan teknik ‘upcycle’ yang mana saya transformasi bahan terbuang menjadi produk baharu dalam bentuk yang lebih bernilai dan bermakna,” ujarnya.
Ditanya mengenai cabaran yang perlu dilalui, Gillian mengakui tidak ramai yang menghargai nilai kesenian barangan kraf tangan.
Bahkan ada yang beranggapan harga yang diletakkan agak mahal sedangkan proses di sebalik pembuatan satu-satu aksesori itu memerlukan kreativiti, ketekunan tinggi dan mengambil masa yang agak lama berbanding barangan mass-produced.
Gillian berpendapat, penganjuran program seperti WEF ASEAN 2025 banyak membantu pengusaha perniagaan kecil-kecilan untuk memperkenalkan produk artisan tempatan ke peringkat lebih tinggi.
Begitu pun, dia bersyukur kerana generasi muda pada hari ini lebih terbuka dan mudah menerima produk kraf buatan tangan yang dihasilkan oleh individu sepertinya.
“Saya nampak generasi Z lebih bold dalam gaya mereka dan suka mencuba sesuatu yang lain daripada lain.
“Mereka lebih suka thrifting, gemar barangan preloved dan berani menggayakan baju-baju fesyen zaman mak kita.
“Dari segi penataan aksesori juga, mereka tidak terikat dengan gaya biasa sebaliknya suka sesuatu yang unik dan lari daripada kebiasaan.
“Pernah saya bertemu dengan pelanggan yang mahu anting-anting yang sebelah kirinya rekaan lain, kanannya lain. Ada juga yang mahu odd design atau satu besar dan satu lagi lebih kecil. Ternyata mereka memang berani berfesyen,” katanya.
Kata Gillian lagi, penganjuran program seperti Women Economic Forum ASEAN 2025 banyak membantu pengusaha perniagaan kecil-kecilan sepertinya untuk memperkenalkan produk artisan tempatan ke peringkat lebih tinggi.
"Produk kami lebih dikenali apabila ada delegasi dalam dan luar negara yang menunjukkan minat terhadap rekaan aksesori seperti ini.
"Saya berharap pada masa akan datang, produk ini akan mendapat sambutan lebih baik," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel danTelegram