Enam tahun berbakti, Tengku Maimun tamat tempoh sebagai Ketua Hakim Negara wanita pertama


  • Sukses
  • Selasa, 01 Jul 2025

Beliau mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada Mei 2019. — Portal rasmi Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Negara

KETUA Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, beliau tidak menyesal dengan tempoh perkhidmatannya sebagai hakim tertinggi negara dan tidak berkecil hati walaupun tidak ditawarkan lanjutan perkhidmatan.

Ketua Hakim Negara yang bakal bersara pada Rabu itu memberitahu media bahawa ketiadaan lanjutan enam bulan bukanlah satu isu besar baginya.

“Apa yang boleh saya katakan, saya telah berkhidmat selama enam tahun dalam keadaan sihat dan bagi saya, itu satu nikmat yang besar.

BACA LAGI: Sanggup tukar 'lifestyle' bandar ke kampung, suami tak kisah ikut permintaan isteri nak dekat dengan ibu

BACA LAGI: Faham, teliti kondisi anak 'speech delay', panduan praktikal buat ibu bapa

Beliau turut menegaskan bahawa tempoh perkhidmatan yang telah disempurnakannya sudah memadai dan tidak perlu dipanjangkan lagi.

“Saya tidak menyesal kerana saya sudah tamat tempoh sebagai Ketua Hakim Negara. Jadi, hakikat bahawa saya tidak disambung enam bulan lagi tidak menjadi masalah langsung.

“Enam bulan tidak begitu bermakna jika dibandingkan dengan enam tahun,” katanya.

Tepat pukul 5 petang Selasa, Tengku Maimun secara rasmi menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Hakim Negara ke-16.

Beliau mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik ke jawatan itu pada Mei 2019.

Tengku Maimun menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-66 pada Rabu, sekali gus mencapai umur persaraan wajib.

Persaraan beliau turut menarik perhatian ramai dan menjadi topik perbincangan kerana tiada pengumuman rasmi dibuat setakat ini mengenai penggantinya.

Ketika ditanya tentang harapannya terhadap badan kehakiman, beliau berharap legasi yang ditinggalkannya dapat diteruskan oleh pengganti beliau.

“Saya ingin ambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Badan Peguam Malaysia dan semua peguam, termasuk dari Sabah dan Sarawak atas sokongan kuat yang diberikan kepada saya.

“Saya amat menghargainya,” tambah beliau. — The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram