Tengku Puteri Jihan angkat warisan tekstil Malaysia ke pentas antarabangsa, Jihans Studio sertai UCA Grad Show 2025


  • Hias
  • Sabtu, 21 Jun 2025

Tengku Puteri Jihan memartabat estetika warisan tekstil negara pada pameran tekstil UCA Grad Show 2025.

TENGKU Puteri Jihan Azizah Athiyatullah, puteri bongsu kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, mencuri perhatian dunia seni antarabangsa menerusi penyertaan rasminya pada University for the Creative Arts (UCA) Grad Show 2025.

Merupakan pengasas di sebalik jenama tekstil Jihans Studio, Tengku Puteri Jihan yang merupakan pelajar tahun akhir program Ijazah BA (Kepujian) Tekstil itu tampil unik menerusi projek bertajuk Cityscapes Of The Future.

Merupakan sebuah gabungan seni tekstil yang menghimpunkan elemen futuristik dengan warisan seni bina tradisional Malaysia, ia memperlihatkan kematangan estetik dan jati diri budaya yang kuat dalam setiap helaian fabrik.

BACA LAGI: Anak tunggal terlebih manja? Ini cabaran, realiti hidup tanpa adik-beradik

BACA LAGI: Pantau perkembangan 1,000 hari pertama anak, bayi risiko tinggi dijangkiti 3 penyakit tersembunyi

Platform seni dan rangkaian industri

Grad Show 2025 UCA adalah platform tahunan menghimpunkan bakat baharu dari pelbagai bidang kreatif, termasuk tekstil, fesyen, grafik dan seni halus.

Pameran tahun ini berlangsung di tiga kampus utama di Epsom, Farnham dan Canterbury, England dari 9 hingga 25 Jun, selain turut boleh diakses secara dalam talian.

Lebih 50 anugerah industri dipertandingkan, termasuk peluang pameran dan penjualan hasil karya menerusi inisiatif #MadeByUCA, platform itu turut membuka laluan lebih luas untuk para graduan mengetengahkan jenama mereka ke pasaran antarabangsa.

 

 

 

Seni Diraja bertemu inovasi tekstil

Dalam karya tersebut, Tengku Puteri Jihan menggunakan bahan seperti monofilamen dan dawai logam yang disusun dalam bentuk pleat dan instalasi tiga dimensi untuk mencipta kesan cahaya dan ruang, simbolik kepada 'lapisan' sejarah dan kemodenan.

Rekaan itu juga mencerminkan nilai dipupuk oleh Tunku Azizah sendiri sebagai tokoh terkemuka dalam bidang tenun dan batik Diraja yang sejak awal membimbing anakanda mencintai seni tekstil tradisional.

 

Dari Balairung Seri ke galeri seni UK

Tengku Puteri Jihan bukan asing dalam dunia kraf seni.

Sejak remaja telah menyertai bengkel tenun, batik dan seni lukis, malah sering membantu ibunda dalam inisiatif pemuliharaan seni kraf Melayu.

Kini, menerusi Jihans Studio, bakatnya diterjemah dalam bentuk kontemporari untuk khalayak global dengan penyertaan rasmi dalam UCA Grad Show 2025 menandakan langkah besar dalam profil seni antarabangsa.

Pameran itu turut menampilkan puluhan artis muda dan menjadi tumpuan dunia reka bentuk serta tekstil kreatif dari seluruh dunia.

Lebih daripada sekadar projek graduasi, karya Tengku Puteri Jihan dilihat sebagai cerminan hala tuju baharu seni tekstil Malaysia berakar dalam tradisi, namun progresif dalam bentuk dan persembahan.

Bukan sahaja meneruskan legasi diraja dalam seni kraf, Tengku Puteri Jihan turut mencipta sejarah tersendiri dalam dunia tekstil global, sekali gus membawa identiti Malaysia ke peringkat dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram