
SIAPA sangka, hidangan acar buah yang dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan masakan sempena Karnival Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Pahang, Pahang pada Sabtu rupa-rupanya merupakan hasil air tangan Tengku Ampuan Pahang.
Lebih mencuri perhatian, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyertai pertandingan tersebut tanpa mendedahkan identiti sebenar, sebaliknya menggunakan nama samaran ‘Aminah Mahmood’.
Perkara itu hanya diketahui selepas keputusan diumumkan, sekali gus mengejutkan juri dan penganjur.
BACA LAGI: [VIDEO] Pesona adibusana Syahrini dan Cinta Laura menyinar di Festival Filem Cannes 2025
Juri pertandingan, Siti Rokiah Lebai Rahmat, 74, berkata, beliau tidak menyangka hidangan yang dinilai berdasarkan kriteria rasa dan kreativiti itu sebenarnya dimasak oleh Tengku Ampuan Pahang sendiri.
“Semua peserta dikehendaki menyediakan hidangan dari rumah dan membawanya ke lokasi pertandingan tanpa sebarang pengecualian.
“Kami memilih acar buah tersebut kerana keseimbangan rasanya yang begitu sempurna. Ia bukan sahaja enak, tetapi turut menampilkan gabungan bahan yang harmoni dan beraroma,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi Kesultanan Pahang pada Ahad.
Tambah Siti Rokiah, ini merupakan kali pertama beliau menikmati acar buah yang benar-benar menepati cita rasa dari semua aspek selepas hampir 40 tahun menjadi juri pertandingan masakan.
“Acar buah ini tidak berminyak, kuahnya pekat dan menyerap rasa rempah serta buah dengan begitu baik. Saya belum pernah merasai acar buah seistimewa ini sepanjang pengalaman saya sebagai juri,” ujarnya.
Pertandingan tersebut disertai seramai 11 peserta dan diadakan di Taman Tasik Maran, Maran, Pahang pada Sabtu lalu sebagai sebahagian daripada program karnival WI Pahang.
Tunku Azizah turut berkenan mencemar duli menghadiri karnival berkenaan selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung WI Pahang di Dewan Jubli Perak.
Baginda turut diiringi oleh Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan Datuk Mohammed Moizz. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram