[VIDEO] Hasnah Mohammed Hashim kini pemangku Ketua Hakim


  • Massa
  • Khamis, 03 Jul 2025

Tan Sri Hasnah Mohamed Hashim kini mengisi jawatan sebagai Ketua Hakim Negara. — The Star

HAKIM Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim secara rasminya memangku jawatan Ketua Hakim Negara.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan, jawatan tersebut dibiarkan kosong sebelum ini tanpa sebarang pengumuman pengganti berikutan persaraan Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada Rabu.

Menurutnya, pelantikan itu dibuat mengikut Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan di bawah Seksyen 9(1)(b) dan Seksyen 9(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Akta 91).

BACA LAGI: Ketua Hakim Negara wanita pertama akhiri tugas, Indira Gandhi antara 5 kes 'warnai' karier Tengku Maimun

BACA LAGI: [VIDEO] 'Corak tak jadi pun laku', seni batik tanah liat makin memikat hati rakyat Malaysia

Tengku Maimun menamatkan enam tahun perkhidmatannya sebagai ketua badan kehakiman tertinggi negara pada Rabu.

"Hakim Besar Malaya hendaklah menggunakan kuasa atau menjalankan tugas jawatan sebagai Ketua Hakim Negara sehingga jawatan itu diisi.

"Badan Kehakiman Malaysia tetap teguh dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai penjaga keadilan serta akan terus berkhidmat untuk rakyat dan negara dengan penuh dedikasi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

 

Perkara 131A  juga menyatakan bahawa jika jawatan Ketua Hakim Negara kosong atau Ketua Hakim Negara tidak dapat melaksanakan fungsi jawatan itu, hakim Mahkamah Persekutuan yang paling kanan seterusnya hendaklah memikul tanggungjawab tersebut sehingga pelantikan baharu dibuat atau Ketua Hakim Negara menyambung semula tugas.

Manakala, Seksyen 9(1)(b) dan Seksyen 9(3) memberi kuasa kepada hakim Mahkamah Persekutuan yang paling kanan untuk menjalankan tugas Ketua Hakim Negara buat sementara waktu apabila jawatan itu kosong atau pemegang jawatan tidak dapat melaksanakan fungsi mereka.

Untuk rekod, Hasnah dilantik sebagai Hakim Besar Malaya pada 12 November 2024 sekali gus menjadikan beliau wanita ketiga memegang jawatan itu selepas Tan Sri Siti Norma Yaakob dan Tan Sri Zaharah Ibrahim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram