[VIDEO] Genap setahun pemergian ibu, ubah perspektif Michelle terhadap kematian, semakin hargai kehidupan


  • Bonda
  • Rabu, 02 Jul 2025

Michelle (kiri) kini lebih fokus menghabiskan masa bersama keluarga tercinta. — Agensi

GENAP setahun pemergian ibunya, bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama tampil berkongsi pengalaman menyentuh hati yang mengubah perspektif hidupnya terhadap kematian.

Dalam satu podcast Wild Card bersama pengacara Rachel Martin baru-baru ini, isteri kepada mantan Presiden AS, Barrack Obama itu menceritakan kembali kenangan terakhir sebelum ibunya meninggal dunia.

Ibunya, Marian Robinson dilaporkan meninggal dunia pada usia 86 tahun pada Mei 2024.

BACA LAGI: Elfira Loy titip pesan banyakkan sabar untuk adik baru dirikan rumah tangga

BACA LAGI: [VIDEO] 'Effort A+', suami 'surprise' isteri dengan gerai mini, tanda sokong bisnes biskut di Puncak Alam

Kata Michelle, kata-kata keramat yang sempat diberikan oleh ibunya itu ketika sedang terlantar di hospital.

"Ketika itu, ada satu perbualan ringkas, namun bermakna dengan ibu yang memberi kesan mendalam.

"Dia sedar tidak akan menjadi seperti dahulu. Dia mula menerima bahawa hidupnya hampir ke penghujung," katanya.

Menurutnya, Marian sebelum itu kerap bercakap tentang kematian secara terbuka dan menyatakan sudah bersedia untuk ‘pergi’.

"Dia kata 'saya bersedia untuk mati'. Sambil bersandar pada saya dia kata 'wah, ini (hidup) berjalan dengan pantas'," katanya.

Kongsinya lagi, walaupun ibu kelihatan bersedia mengakhiri hidup, detik tersebut membuktikan bahawa tiada siapa benar-benar bersedia untuk pergi jika mereka sedang menjalani kehidupan yang baik dan bermakna.

"Apa yang saya pelajari daripada itu adalah walaupun anda beritahu diri sendiri sudah bersedia, jika anda jalani hidup yang baik, anda tetap akan rasa belum cukup masa.

"Itulah yang saya pegang hingga ke hari ini," jelasnya.

Marian (kanan) meninggal dunia pada Mei 2024. — Agensi

Memasuki usia 61 tahun, Michelle berkata, detik itu membuatkan beliau lebih menghargai masa dan ingin menikmati hidup dengan lebih santai.

"Suami saya mungkin anggap saya berlebih-lebihan, tetapi pada usia sekarang, jika saya benar-benar bernasib baik, saya mungkin dapat rasa 25 musim panas lagi," katanya.

Sejak meninggalkan Rumah Putih hampir sedekad lalu, Michelle mengakui kehidupannya cukup sibuk dengan pelbagai komitmen termasuk menulis buku, membuat penampilan umum dan membesarkan anak-anak.

"Semuanya berlaku dengan pantas. Tetapi kini, saya mahu 10 tahun akan datang berlalu dengan perlahan.

"Saya mahu menikmati hidup. Saya mahu hari yang sunyi dan perlahan yang bila saya lihat jam, baru pukul 12 tengah hari.

"Saya mahu lebih banyak hari seperti itu," ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram