
RATUSAN wanita di daerah pengeluaran tebu Beed, Maharashtra, India dilaporkan bersetuju menjalani pembedahan membuang rahim atau histerektomi demi meneruskan pekerjaan fizikal yang panjang dan memenatkan di ladang tebu.
Menurut pendedahan aktivis hak buruh wanita, fenomena membimbangkan itu didakwa berlaku sejak sedekad lalu.
Wanita ladang yang kebanyakannya muda dan miskin digalakkan menjalani pembedahan itu bagi mengelakkan masalah sakit haid dan kehamilan yang mengganggu waktu kerja.
BACA LAGI: Haid teratur tiap bulan tak semestinya subur, berisiko hidap PCOS, sukar hamil — Pakar
Aktivis Manisha Vaijnath Tokle berkata, tekanan kemiskinan, gaji rendah kurang RM28 sehari serta denda kerana tidak hadir bekerja, menjadi punca utama mereka sanggup mempertaruhkan kesihatan diri.
“Mereka diberitahu bahawa pembedahan ini akan 'melepaskan mereka daripada masalah bulanan'.
“Kontraktor tidak memaksa secara langsung, tetapi mewujudkan tekanan situasi yang seolah-olah memaksa mereka.
"Bagi ramai wanita yang sudah mempunyai anak, ini dianggap satu-satunya jalan untuk kekal bekerja,” katanya.
Wanita ini terus bekerja walaupun ketika haid, hamil malah sewaktu mengalami keguguran. — Agensi
Tinjauan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan pada 2019 mendedahkan, kadar histerektomi di Beed ialah 36 peratus, jauh lebih tinggi berbanding purata kebangsaan India iaitu tiga peratus.
Pihak berkuasa tempatan kemudiannya menjalankan siasatan dan mendapati lebih 13,000 pekerja wanita termasuk gadis di bawah umur 25 tahun telah menjalani pembedahan dalam tempoh 10 tahun.
Walaupun beberapa pembaharuan diperkenalkan termasuk pemeriksaan kesihatan berkala, kumpulan hak wanita berkata, tiada perubahan ketara berlaku dan semakin ramai wanita masih didorong ke arah pembedahan.
Pendedahan media tempatan pada Jun lalu mengenai statistik tinggi pembedahan tersebut sekali lagi mencetuskan kemarahan ramai.
Antara punca utama dikenalpasti ialah perkahwinan kanak-kanak, hubungan seksual awal, kehamilan usia muda dan beban kerja melampau.
Ramai gadis dikahwinkan seawal usia 12 tahun dan dibawa bersama suami mereka ke ladang tebu.
Di situ mereka terpaksa menempuh semua fasa tekanan reproduktif dari haid, kehamilan hinggalah keguguran tanpa sebarang cuti.
Asha, pemotong tebu berusia 29 tahun dari daerah Beed yang mempunyai tiga anak, menjalani pembedahan membuang rahim dua tahun lalu. — Agensi
Tiada cuti
Sementara itu, jurucakap pakatan organisasi hak wanita ladang, Seema Kulkarni berkata, mereka juga tidak dibenarkan berehat walaupun sehari, semasa haid, hamil atau keguguran.
“Jika ambil cuti, bukan sahaja kehilangan upah, malah perlu membayar kepada kontraktor. Ini bentuk buruh paksa yang nyata,” tegasnya.
Dalam satu lawatan ke beberapa kampung di Beed, hampir 36 wanita yang pernah menjalani pembedahan berkata, mereka berharap dapat bekerja lebih lama tanpa gangguan haid atau kehamilan.
Kebanyakannya masih berusia di bawah 40 tahun.
Ujar mereka, pembedahan dicadangkan doktor kononnya sebagai penyelesaian masalah sakit puan seperti cyst, haid tidak teratur dan jangkitan saluran kencing.
Pegawai Daerah Beed, Vivek Johnson mengesahkan bahawa laporan media tersebut telah menarik perhatian Pejabat Perdana Menteri dan kini isu itu dipantau rapi oleh Kementerian Kesihatan India.
Pendedahan itu sekali lagi membuka perbincangan besar tentang eksploitasi wanita dalam sektor pekerjaan tidak formal di India, khususnya melibatkan tubuh dan hak reproduktif wanita kelas bawahan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram