
BAGAI aur dan tebing, tali persaudaraan adik-beradik tidak akan pernah putus walau hingga ke hujung nyawa.
Situasi lebih jelas boleh digambarkan menerusi jalinan silaturrahim tercipta antara pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah bersama adik-beradiknya baru-baru ini.
Berkumpul pada sebuah majlis perkahwinan salah seorang anak saudaranya, peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya penceramah kelahiran Kampung Sungai Pinang, Klang, Selangor tersebut untuk beramah mesra dan bersua muka dengan ahli keluarganya yang sudah lama tidak berjumpa.
BACA LAGI: Al-Mujadilah Center masjid khas wanita pertama di dunia, simbol pemerkasan muslimah
BACA LAGI: [VIDEO] Sasha Saidin anggap anak Che Ta ‘jelmaan’ ketika muda, banyak kongsi tip dan fesyen
Paling menyentuh hati, Mohd Fadzilah turut menyuapkan hidangan pulut kuning pada sembilan adik-beradiknya menerusi sebuah acara dinamakan 'suapan kasih'.
Momen itu mencuri tumpuan ramai ekoran ikatan ukhuwah yang kekal utuh walaupun sudah kehilangan ibu bapa sejak sekian lama.
Dicemburui ramai warga maya, rata-ratanya mengimpikan keluarga bahagia di samping hubungan adik-beradik seakrab itu.
"Hebatnya didikan Haji Kamsah, ya ALLAH satukan kami adik-beradik seperti mana anak-anak Haji Kamsah ni, semoga kalian berkumpul semula di syurga Firdaus," kata noorfaseehaomar.
"Semoga ALLAH satukan hati kami adik-beradik dengan rahmat dan kasih sayang hingga ke hujung nyawa aamiinn," ujar Zallynn Ahmad.
"Saya cemburu dengan keluarga seperti ini, kami adik-beradik besar juga tapi bukan dapat bermuafakat dan berkasih sayang seperti keluarga Kamsah ni, semoga kalian sentiasa di bawah lindungan ALLAH," tambah Erien Jidin.
Sekadar info, Mohd Fadzilah ialah anak kedua daripada 12 orang adik-beradik dan merupakan graduan Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Komunikasi Organisasi dari University of Wisconsin, Madison, Amerika Syarikat (AS) pada 1984.
Kejayaan beliau bukan sahaja terbatas dalam institusi pendidikan dan seminar korporat, bahkan turut menjadi figura popular di media arus perdana.
Penampilannya dalam rancangan seperti Motivasi Pagi RTM1, Sekapur Sirih dan Suara Hati menjadikannya ikon motivasi di kaca televisyen sejak awal 1990-an sehingga sekarang.
Kini, pengaruhnya terus berkembang dengan kemunculan media sosial dan mesra digelar Tok Abah oleh para pengikut setianya yang menjadikan pesanan dan nasihatnya sebagai panduan hidup harian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram