Julang nama Malaysia, si cilik dari Sarawak dinobatkan Royal Grand Winner WJTA 2025


Aaisyah Batrisya Putit meraih gelaran Royal Grand Winner World Junior Tourism Ambassador International 2025.

SEJARAH tercipta buat Malaysia apabila Aaisyah Batrisya Putit, 10, dinobatkan sebagai Royal Grand Winner dalam World Junior Tourism Ambassador International 2025 (WJTA 2025) yang berlangsung di Auditorium Shantanand, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kejayaan tersebut sekali gus membuatkan si cilik itu menjadi rakyat Malaysia pertama merangkul gelaran tertinggi berkenaan.

Aaisyah yang berasal dari Sarawak, menewaskan peserta dari lebih 20 negara lain termasuk Indonesia, Filipina, Thailand, India dan Korea Selatan.

BACA LAGI: Pakar hurai ciri pseudoautisme, simptom 'palsu' mirip autisme yang masih boleh dirawat

BACA LAGI: [VIDEO] Cik Man kongsi taktikal 'penalti halus', rahsia kemenangan skuad Ex Treble Kelantan

Gelaran Royal Grand Winner merupakan anugerah tertinggi yang diberikan kepada peserta cemerlang secara menyeluruh dalam aspek promosi pelancongan, persembahan budaya, sahsiah diri dan penguasaan komunikasi.

 

 

Pertandingan yang berlangsung dari 23 hingga 28 Jun itu dianjurkan oleh Double Event Management dan disokong oleh pelbagai agensi pelancongan dan kebudayaan dari serantau Asia.

Ia bertujuan melahirkan duta pelancongan muda yang mampu memperkenalkan budaya, warisan dan keunikan negara masing-masing kepada dunia.

Pada malam kemuncak, Aaisyah tampil memukau dengan pakaian tradisional Malaysia lengkap dengan elemen etnik Sarawak, selain mempersembahkan segmen pengenalan pelancongan negara dalam bahasa Inggeris dan Melayu.

Ketekunan, keunikan dan keyakinannya dalam berkomunikasi nyata mencuri perhatian barisan juri antarabangsa yang kemudiannya melayakkan pelajar Sekolah Kebangsaan RPR Jalan Astana, Kuching, Sarawak itu menggondol gelaran berprestij berkenaan.

Bukan kemenangan kali pertama, Aaisyah sebelum ini telah memenangi gelaran Mini Miss Global International di Indonesia pada 2024 yang juga merupakan wakil tunggal negara ketika itu.

 

 

Terdahulu, si cilik itu juga dinobatkan sebagai Crown Princess World Junior Tourism Ambassador Malaysia 2025, yang melayakkan dia ke pertandingan peringkat antarabangsa tersebut.

Kemenangan Aaisyah disambut baik oleh warganet dan komuniti pelancongan tempatan yang melihat pencapaiannya sebagai suntikan semangat kepada belia Malaysia dalam memperkasakan diplomasi budaya serta promosi pelancongan secara kreatif.

Kejayaan Aaisyah Batrisya Putit sebagai Royal Grand Winner World Junior Tourism Ambassador International 2025 bukan sahaja menjadi kebanggaan negara, malah membuktikan bahawa anak muda tempatan mampu bersaing dan menyerlah di peringkat antarabangsa.

Bukan sekadar juara, gelaran itu merupakan simbol harapan dan inspirasi kepada generasi muda untuk mencintai budaya, mempromosi pelancongan dan membawa nama Malaysia ke puncak dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram