
SETIAP ibu bapa mahukan yang terbaik buat masa depan anak-anak.
Tidak kira sama ada dari segi akademik mahupun hobi, masing-masing berusaha memberikan kelengkapan yang terbaik agar tumbesaran si kecil terjamin bermula dari peringkat awal.
Seiring dengan perkembangan teknologi semasa, ibu bapa kini mempunyai pelbagai panduan dan kaedah dalam mendidik anak bukan sahaja berdasarkan tontonan di YouTube, malah personaliti individu juga boleh dijadikan teladan.
BACA LAGI: Ibu ayah kahwin lagi? 7 cara tenangkan hati anak mudah terima keluarga baharu
BACA LAGI: Visi Sheikha Mozah realisasikan Al-Mujadilah Center, masjid khas wanita pertama di dunia
Popular di laman sosial, seorang remaja asal Uzbekistan iaitu Kamoliddin atau lebih dikenali sebagai @bestchefkamol di Instagram menjadi contoh dan modul ibu bapa dalam membesarkan anak.
Minatnya terhadap dunia masakan mencuri tumpuan seantero dunia apabila banyak berkongsi resepi dan video memasak seawal usia tiga tahun.
Memaparkan resipi mudah, cepat dan mesra keluarga menjadikan Kamoliddin antara pencipta kandungan kulinari paling digemari serata dunia.
Terbaharu, remaja berusia 13 tahun itu memuat naik aktiviti sehariannya di Instagram yang cukup memberi inspirasi kepada ibu bapa di luar sana.
Sarat dengan aktiviti fizikal dan rohani, keupayaan pempengaruh cilik itu dalam mengekalkan aktiviti sihat di samping pelajaran serta tanggungjawab terhadap keluarganya wajar dicontohi semua golongan kanak-kanak.
Ibu bapa di laman Threads rata-ratanya menitip rasa bahagia dan mengimpikan agar anak-anak mereka mengikut jejak langkah positif remaja berkenaan.
"Sukanya tengok role model budak-budak zaman sekarang, so inspiring, content dia sangat manfaat seronok tengok dengan anak-anak sekali suruh jadikan contoh," kata kamaria86.
"Saya pun suka tengok, seharian dia dipenuhi dengan benda yang bermanfaat, masya-ALLAH hebat sangat didikan mak ayah dia, berdikari dan matang betul," ujar kuatjiwaini.
"Dah la rajin memasak, rajin solat pula tu, panduan ibu bapa ni," tambah inimujtahidah.
Memiliki pengikut lebih sejuta di Instagram dan turut mengendalikan laman web sendiri, bestchefkamol.com, remaja terbabit menyediakan pelbagai resipi mingguan, termasuk menu sahur, iftar, makanan ringan dan pencuci mulut.
Antara hidangan istimewa dikongsikan termasuklah makanan tradisional Uzbekistan dan menu antarabangsa seperti pasta, burger dan manisan.
Bukan sekadar fenomena di laman sosial, Kamoliddin menjadi contoh bahawa usia bukan penghalang untuk mencapai kejayaan dan kini dia dilabel sebagai antara ikon masakan muda tersohor di pentas dunia.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram