[VIDEO] Badan kaku akibat 'hipoglikemia', si cilik usia 2 tahun jadi wira selamatkan nyawa bapa


  • Bonda
  • Sabtu, 28 Jun 2025

Tangkap layar Zab ketika cuba menyelamatkan bapanya yang diserang hipoglikemia.

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia dua tahun digelar 'wira cilik' ekoran tindakan pantasnya yang berjaya menyelamatkan bapanya yang tiba-tiba diserang hipoglikemia di kediaman mereka di Slough, Berkshire, England.

Merupakan situasi kecemasan, keadaan itu berlaku bila mana paras gula dalam darah jatuh terlalu rendah yang memerlukan rawatan segera.

Insiden luar biasa itu berlaku ketika Zab, 2, menyedari bapanya, Ymman Demegillo, 31, tidak sedarkan diri dan terkaku akibat simptom penyakit tersebut. 

BACA LAGI: Pakar hurai ciri pseudoautisme, simptom 'palsu' mirip autisme yang masih boleh dirawat

BACA LAGI: [VIDEO] Cik Man kongsi taktikal 'penalti halus', rahsia kemenangan skuad Ex Treble Kelantan

Tersentak dengan keadaan itu, Zab kemudiannya cuba menggerakkan tubuh bapanya berulang kali namun masih tidak diberikan sebarang respon.

Bijak menangani rasa panik dan cemas, kanak-kanak itu bergegas berlari keluar untuk ke ruang tamu dan kembali dengan beberapa tablet glukosa buat bapanya.

Usai diberi makan, Ymman kemudiannya terus tersedar dan boleh menggerakkan tubuhnya normal seperti sedia kala.

"Zab membuat saya mengunyah tablet itu dan duduk bersama saya sehinggalah keadaan saya mulai sedarkan diri.

"Saya benar-benar terkejut dan tersentuh dengan tindakan Zab, dia baru berusia dua tahun, tetapi sangat bijak dan prihatin," katanya.

Dalam pada itu, ibunya Jill, percaya bahawa tindakan spontan anaknya berpunca daripada didikan yang konsisten sejak kecil.

"Dia baru berusia dua tahun, tapi sudah tahu apa yang perlu dilakukan semasa ayahnya mengalami 'hypo'. 

"Semua ini hasil didikan setiap hari, kanak-kanak sentiasa memerhati dan mereka belajar daripada apa yang mereka lihat," jelasnya.

 

Apa itu Hipoglikemia?

Hipoglikemia berlaku apabila paras gula dalam darah turun lebih rendah daripada paras normal dan ia boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat segera.

Antara gejala awal termasuklah:

- Gementar atau resah

- Berpeluh

- Kelaparan melampau

- Sakit kepala atau pening

- Jantung berdegup laju

- Keletihan luar biasa

Tanda hipoglikemia yang semakin teruk termasuk kekeliruan, hilang koordinasi, percakapan tidak jelas, penglihatan kabur dan dalam kes yang serius, boleh menyebabkan individu pengsan ataupun sawan.

Insiden berkenaan membuktikan betapa pentingnya didikan awal dan kesedaran kesihatan pada si kecil.

Biarpun masih di peringkat kanak-kanak, keberanian ditunjukkan Zab menjadi inspirasi orang ramai khususnya buat ibu bapa dalam mendidik dan membesarkan anak. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram