
SETIAP individu mengimpikan perkahwinan yang bahagia dan berkekalan hingga ke akhir hayat.
Namun, perkara itu nyata menjadi rahsia tuhan yang tidak diketahui hujung pangkalnya bila mana seseorang itu berkemungkinan besar berdepan kes perceraian ataupun kematian pasangan.
Situasi itu nyata meninggalkan kekosongan di hati mahupun jiwa individu yang terpaksa bergelar 'solo' usai dilanda musibah sedemikian.
BACA LAGI: Visi Sheikha Mozah realisasikan Al-Mujadilah Center, masjid khas wanita pertama di dunia
BACA LAGI: [VIDEO] Cik Man kongsi taktikal 'penalti halus', rahsia kemenangan skuad Ex Treble Kelantan
Stigma masyarakat kebiasaannya menggalakkan individu yang berdepan kematian ataupun perpisahan untuk segera mencari pengganti sebagai pasangan hidup yang baharu.
Namun, mereka yang bergelar ibu ataupun bapa pastinya berdepan cabaran dalam membentuk penerimaan anak terhadap calon pasangan yang dibawa.
Setiap keluarga mengimpikan keluarga bahagia di samping pasangan yang kekal hingga ke akhir hayat. — Agensi
Perlu menyesuaikan diri dengan rutin baharu, suasana berbeza dan kehadiran orang asing yang kini menjadi sebahagian daripada keluarga bukanlah perkara mudah untuk diterima anak-anak.
Suka ataupun tidak, anak-anak perlu merestui keinginan ibu bapa mereka dalam melayari bahtera perkahwinan kali kedua yang mungkin membawa sinar serta harapan baharu buat seisi keluarganya.
Berikut merupakan tujuh pendekatan boleh digunakan dalam membantu anak menerima perkara itu dengan cara positif.
1. Bercakap secara terbuka
Jelaskan kepada anak tentang perkahwinan anda dan dengar luahan dan pendapat mereka.
Perbincangan dari hati ke hati perlu dilakukan bagi mengelak daripada sebarang tekanan ataupun emosi yang boleh menjurus kelakuan negatif seperti memberontak dan mengamuk.
2. Keutamaan anak-anak
Yakinkan bahawa kepentingan dan keutamaan usai perkahwinan masih tertumpu kepada anak-anak.
Sebaiknya, luangkan masa berkualiti bersama supaya mereka rasa masih dihargai dan disayangi selain turut melibatkan mereka dalam setiap perancangan dan perbincangan keluarga.
Contoh paling ringkas adalah seperti memberi anak peluang untuk membuat keputusan dalam soal pemilihan pakaian, hadiah ataupun restoran makan.
3. Kekalkan rutin lama
Perubahan besar dan drastik boleh membuatkan anak rasa tidak selamat serta hilang kepercayaan terhadap ibu bapa.
Rutin harian seperti waktu makan atau aktiviti masa senggang wajar dikekalkan walaupun dengan pendatang baharu dalam keluarga.
Hal itu mewujudkan suasana aman dan tempoh masa sesuai untuk seisi keluarga berkenalan dengan pasangan baharu, sekali gus membentuk nilai hormat-menghormati antara satu sama lain.
4. Beri ruang anak meluahkan perasaan
Dengar luahan anak dan berikan ruang untuk suara mereka didengari dalam setiap situasi yang berlaku.
Tidak kira sama ada lelaki ataupun perempuan, masing-masing mempunyai hak dalam menyuarakan keinginan ataupun sebarang syarat dalam pembentukan keluarga baharu.
5. Tetapkan peranan dan sempadan yang jelas
Pastikan anak faham siapa pasangan baharu anda dan apa peranannya dalam keluarga.
Ia bertujuan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan konflik yang boleh memecah-belahkan perkahwinan dibina.
6. Didik tentang hormat dan empati
Bantu anak lihat situasi tertentu dari sudut pandangan dan pemikiran berbeza.
Ajar mereka untuk sentiasa hormat pasangan baharu anda dan adik-beradik tiri agar sentiasa toleransi dalam isu pembabitan tanggungjawab ataupun hak sebagai anak.
7. Bersabar dan beri masa
Setiap perubahan besar memerlukan masa untuk diterima dan dilaksanakan sebaiknya.
Jangan sama sekali memaksa ataupun mengugut anak dengan kelakuan kasar semata-mata demi kepentingan diri sendiri.
Sebaliknya, berikan mereka ruang untuk melalui proses itu dengan cara tersendiri bagi mengelakkan daripada sebarang konflik di kemudian hari.
Perkahwinan kedua penyatuan keluarga
Perkahwinan kedua bukan sekadar penyatuan dua jiwa yang kehilangan, bahkan ia berperanan sebagai harapan dan sinar baharu buat seisi keluarga khususnya anak-anak yang masih memerlukan ibu bapa sebagai tempat bergantung.
Dengan komunikasi yang baik, empati dan kesabaran, pemikiran serta penerimaan anak trhadap isu berbangkit boleh dibantu agar menerimanya dengan hati yang terbuka.
Setiap anak hanya mahukan rasa disayangi dan dihargai, maka apabila hal itu dikotakan nescaya penerimaan tersebut akan datang dengan sendirinya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram