Visi Sheikha Mozah realisasikan Al-Mujadilah Center, masjid khas wanita pertama di dunia


  • Hias
  • Sabtu, 28 Jun 2025

Al Mujadilah Center merupakan sebuah masjid khas dibina untuk golongan wanita di Qatar.

MELAKAR sejarah baharu dalam konteks keagamaan dan pendidikan Islam, tokoh terkemuka bidang pembangunan sosial dan pendidikan di Qatar, Sheikha Mozah Nasser merasmikan Al Mujadilah Center, sebuah masjid khas wanita pertama di negara Teluk itu.

Selari dengan nilai-nilai Islam yang menggalakkan ilmu, ibadah dan penyertaan aktif dalam pembangunan ummah, masjid tersebut dinamakan sempena Surah Al-Mujadilah mengisahkan keberanian wanita dalam menyuarakan keadilan kepada Rasulullah SAW.

Bukan sekadar ruang solat semata-mata, Al Mujadilah Center merupakan kompleks komprehensif turut menawarkan kelas-kelas pengajian al-Quran, forum keilmuan serta perpustakaan Islam khas buat wanita.

BACA LAGI: [VIDEO] Cinta tak pernah luntur, irama piano jadi saksi kasih sejati pasangan usia 80-an di Sunway Sanctuary

BACA LAGI: [VIDEO] Baru 2 tahun sudah pandai memasak dan menjahit, kanak-kanak di sekolah tadika China raih pujian ramai

 

Dewan solat wanita

Dewan solat yang dibina seluas 9,400 kaki persegi itu boleh memuatkan seramai 750 jemaah pada satu-satu masa. Dinding kiblat direka berbentuk melengkung dengan dua tumpuan utama iaitu:

Mihrab adalah ceruk utama yang menandakan arah solat dan disinari cahaya matahari dari atas.

Mimbar pula tempat imam menyampaikan khutbah.

Permaidani digunakan direka khas oleh firma arkitek terkenal dari New York, Diller Scofidio + Renfro yang diasaskan oleh Elizabeth Diller dan Ricardo Scofidio.

Al-Mujadilah Center untuk wanita beribadah dalam suasana selesa, malah boleh turut serta secara aktif dalam bidang ilmu dan perbincangan agama.

Reka bentuk berpaksikan cahaya dan alam

Struktur bumbungnya memiliki lebih 5,000 'telaga cahaya' tertanam di bumbung berupaya meresap sinaran matahari dan menghasilkan limpahan cahaya lembut ke dewan utama.

Dewan dipusing 17 darjah daripada paksi bangunan bagi menjajarkan dinding kiblat tepat ke arah Mekah.

Simbol alam menyerlah melalui binaan berupa dua pokok zaitun menembusi bumbung, mengekalkan tradisi masjid Islam yang harmoni dengan keindahan alam sekitar.

Reka bentuk menara azan moden

Di satu sudut masjid, terdapat menara setinggi 128 kaki dibina dalam gaya bentuk moden.

Menariknya, binaan tersebut tidak memerlukan muazin memanjat seperti zaman dahulu, sebaliknya peranti pembesar suara elektronik akan digunakan untuk mengumandangkan azan dari puncak menara lima kali sehari.

Reka bentuk menara itu diinspirasikan daripada elemen seni bina Islam tradisional yang disuaikan dengan teknologi moden zaman kini.

Projek itu juga wajar menjadi contoh kepada negara lain untuk menyediakan ruang ibadah dan pembelajaran yang lebih mesra wanita sekali gus membuka lembaran baharu dalam sejarah wanita dan Islam di dunia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram