
SEKILAS pandang raut wajah anak perempuan Rozita Che Wan iaitu Aaisyah Dhia Rana, 11, jelas mirip Sasha Saidin yang merupakan ibu saudaranya.
Berkulit cerah dan bergaya persis model antarabangsa, tidak dinafikan anak kepada pasangan pelakon Che Ta dan Zain Saidin itu sememangnya kian meminati dunia peragaan.
Menganggap perkara itu sebagai minat turun temurun, penyanyi yang juga merupakan ahli kumpulan Elite tersebut berbangga sekiranya Aaishah mengikut jejak langkahnya dalam industri muzik.
Bahkan, Sasha turut mengakui bahawa si kecil itu banyak mempelajari bidang fesyen hasil daripada dorongan dia dan Che Ta.
“Gems mak saya yang mat saleh tu kuat dan saya memang suka luangkan masa dengan Aaishah, hari itu kami makan bersama pun dia siap buat live dekat TikTok, mungkin budak sekarang lain.
“Tapi dulu saya budak-budak pun macam tu suka explore, jadi kalau ada masa memang saya suka keluar dengan anak buah saya.
“Saya tak kisah kalau dia ikut jadi artis pun terpulang pada dia, baru-baru ni pun saya banyak bagi baju-baju lama saya pada Aaishah, walaupun saiz besar tapi dia nak pakai bila dewasa nanti,” katanya kepada Majoriti pada sesi sidang media konsert Elite 25 di Kuala Lumpur pada Isnin.
Melihat minat Aaishah lebih cenderung ke arah peragaan dan lakonan, Sasha memberi galakan penuh untuk si cilik itu terjun ke dalam bidang hiburan tanah air satu hari nanti.
Katanya, Aaishah seorang yang pemalu dan kurang meminati nyanyian sepertinya satu keyika dahulu.
“Nampak dia minat ke arah model dan lakonan, setakat ni saya minta dia nyanyi dia malu, tak nak pula dia.
“Tapi dia memang beza dengan anak saya, lebih pemalu depan kamera, Aaishah ni semula jadi biasa depan orang ramai, tak malu semua,” tambahnya.
Dalam pada itu, kumpulan Elite mencipta sejarah tersendiri apabila bakal muncul membuat persembahan menerusi konsert ‘ELITE 25’ pada 20 September nanti.
Peminat buat julung kalinya akan disajikan karya-karya popular kumpulan tersebut di Planery Hall, Kuala Lumpur Convention Centre anjuran penganjur berkaliber, Icon Entertainment.
Mengubati kerinduan peminat era kegemilangannya sekitar 90-an, Elite yang dianggotai Linda Rafar, Abby Abadi, Watie, Sasha dan Azza menjanjikan persembahan terbaik bagi membalas jasa penyokong setianya hingga ke hari ini.
Tiket konsert akan tersedia untuk dibeli mulai 26 Jun mengikut kategori yang telah disediakan iaitu GIG (RM1088- with Meet & Greet and refreshment), MANISNYA SENYUMANMU (RM588), CATWALK (RM268), TAMPARAN WANITA (RM268). menerusi www.ticket2u.com.my/elite. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram