Pasangan TTC tunggu zuriat lebih 2 dekad, cahaya mata sulung jadi hadiah bermakna ulang tahun ke-20 perkahwinan


  • Relaks
  • Selasa, 22 Apr 2025

Nor Asniah (kiri) menitipkan pesanan penuh makna buat pasangan-pasangan lain yang masih berusaha mendapatkan cahaya mata.

SELEPAS hampir dua dekad menanti, doa sepasang suami isteri akhirnya dimakbulkan apabila mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang ditunggu-tunggu penuh sabar selama ini.

Pasangan tersebut, Syed Samsul dan Nor Asniah, menyambut kelahiran anak sulung mereka, Sharifah Amanda Raudhah, pada 16 Januari lalu.

Kelahiran zuriat sulung itu sekali gus menjadi hadiah terindah sempena ulang tahun ke-20 perkahwinan Syed Samsul dan Nor Asiah.

BACA LAGI: Warna biru, hijau beri ketenangan, 5 lagi elemen dekorasi pejabat kurangkan stres pekerja

BACA LAGI: Pokok kemboja cantik tapi akar rosakkan struktur bangunan? Arkitek landskap perjelas fakta sebenar

Kisah penuh inspirasi itu dikongsikan oleh Pakar Fertiliti dan Ginekologi, Dr. Salleha Khalid, menerusi akaun TikTok beliau, yang mana pasangan itu berkongsi perjalanan panjang dan penuh harapan dalam usaha mendapatkan zuriat.

"Pada tahun 2024, kami mula menjalani rawatan kesuburan. Tahun ini juga genap 19 tahun kami mencuba dan berjuang untuk mendapatkan Amanda.

"Alhamdulillah, pada 16 Januari, lahirlah puteri kami, Amanda. Tahun ini juga menjadi tahun paling manis dalam hidup kami, kerana disambut bersama ulang tahun ke-20 perkahwinan. Syukur," kata Nor Asniah dalam video tersebut.

Nor Asniah turut menitipkan pesanan penuh makna buat pasangan-pasangan Trying-To-Conceive ataupun TTC yang masih berusaha mendapatkan cahaya mata.

"Kepada pejuang di luar sana, jangan pernah putus asa. Insya-ALLAH, ALLAH dah tentukan rezeki setiap hamba-Nya, dan Dia akan beri pada masa yang paling tepat.

"Saya percaya, setelah 20 tahun, inilah masa yang ditetapkan ALLAH untuk kami menerima anugerah ini. Jadi, teruslah berusaha, bersabar dan jangan pernah jemu berdoa," katanya.

Perkongsian itu menyentuh hati ramai pengguna media sosial yang turut meninggalkan komen-komen penuh emosi dan sokongan.

"Akak bersalin umur 43 tahun. Jadi aku pun rasa masih ada harapan. Terima kasih akak bagi semangat."

"19 tahun tu bukan sekejap. Tapi suami tetap setia. Dan akhirnya, ALLAH bagi juga rezeki tu. Tahniah!"

"Ayat dia tu menusuk: ‘Ini masa yang tepat’. Memang betul, ALLAH tahu apa yang terbaik untuk kita."

Kisah Syed Samsul dan Nor Asniah bukan sekadar kisah tentang penantian, tetapi juga kisah tentang kepercayaan, kesabaran dan kekuatan cinta dua insan yang tidak pernah berputus asa dengan takdir.

Semoga kehadiran Sharifah Amanda Raudhah membawa kebahagiaan dan keberkatan berpanjangan buat keluarga itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram