
SELAIN berdepan cabaran besar untuk memiliki anak, kebanyakan wanita yang menghidap sindrom ovari polisistik (PCOS) juga sukar menurunkan berat badan walaupun sudah menjaga pola pemakanan dengan rapi.
Menurut jurulatih kesihatan menggunakan akaun Threads @dilla.nur_, masalah tersebut bukan sahaja berpunca daripada kalori, tetapi ia melibatkan ketidakseimbangan hormon dan gangguan metabolisme yang kompleks.
Jelasnya, terdapat lima punca utama mengapa wanita dengan PCOS lebih sukar mencapai berat badan ideal.
BACA LAGI: Lebih 100 koleksi fesyen milik Puteri Diana dilelong, ada gaun cecah harga RM1.3 juta
1. Rintangan insulin
Dianggarkan 70 hingga 80 peratus wanita dengan PCOS mengalami rintangan insulin yang mana badan tidak bertindak balas dengan baik terhadap hormon insulin.
Walaupun mengurangkan gula, tetapi pengambilan karbohidrat berindeks glisemik tinggi seperti nasi putih atau roti putih tetap menyebabkan peningkatan insulin.
Tahap insulin yang tinggi itu sekali gus menyukarkan badan untuk membakar lemak dengan efektif.
2. Hormon testosteron tinggi
PCOS juga menyebabkan peningkatan hormon androgen (hormon lelaki) dalam badan wanita.
Keadaan itu secara tidak langsung akan menggalakkan penyimpanan lemak terutamanya di abdomen.
Ia juga memerlukan masa dan strategi untuk menurunkan hormon tersebut secara menyeluruh.
3. Kitaran haid tidak stabil
Apabila proses ovulasi tidak berlaku maka, kitaran haid yang tidak stabil akan memperlahankan metabolisme.
Badan kemudiannya gagal ‘menetapkan semula’ hormon estrogen dan progesteron yang membawa kepada ketidakseimbangan hormon dan mengaktifkan mod ‘perlindungan lemak’ oleh badan.
Tekanan berlebihan boleh meningkatkan hormon kortisel. — Gambar hiasan
4. Tekanan dan kortisel tinggi
Tekanan emosi atau fizikal seperti tidak cukup tidur, amalan berpuasa berlebihan boleh meningkatkan tahap hormon kortisol.
Kortisol adalah hormon steroid yang diproduksi oleh kelenjar adrenal dan dikenal sebagai hormon tekanan.
Pendekatan seperti Intermittent Fasting (IF) mungkin tidak sesuai untuk semua pesakit PCOS bergantung kepada keadaan hormon masing-masing.
5. Kurang protein dan serat
Walaupun pengambilan gula dikurangkan, protein dan serat yang tidak mencukupi akan menyebabkan kerap berasa lapar dan keinginan makan secara tiba-tiba (craving).
Ini juga menyebabkan pengambilan kalori berlebihan tanpa disedari, sekali gus menggagalkan usaha penurunan berat badan.
Namun, setiap masalah pasti ada penyelesaiannya dan susulan itu, terdapat beberapa solusi yang sesuai bagi golongan wanita sedemikian.
Selain mengamalkan diet yang kaya dengan sayur, lemak sihat dan protein, anda juga disarankan untuk melakukan senaman kekuatan serta menjaga waktu tidur.
Cara tersebut bukan sahaja dapat menstabilkan hormon, malah menguruskan tekanan dengan lebih efektif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram