
MEMILIKI bakat dalam dunia nyanyian, lakonan, pengacaraan serta penyampai radio, maka tidak hairanlah jika personaliti, Dina Nadzir diiktiraf sebagai penerima Anugerah Inspirasi Pesona Wanita Johor atas sumbangan dan pencapaiannya dalam dunia seni, sekali gus menjadi simbol kekuatan dan keanggunan wanita moden masa kini.
Tidak ramai yang mampu mencipta nama dalam pelbagai cabang seni dan hiburan, namun wanita kelahiran Johor Bahru, Johor itu membuktikan bahawa serba boleh bukan sekadar gelaran, tetapi satu komitmen yang dilakukan dengan kesungguhan.
Bermula sebagai peserta rancangan realiti Malaysian Idol, perjalanan seninya terus berkembang merangkumi bidang pengacaraan, lakonan dan penyampaian radio.
Menerusi hantaran di media sosial yang dimuat naik oleh sebuah stesen radio tempatan, Dina atau nama sebenarnya Faradina Mohd Nadzir, 40, tampil anggun mengenakan busana kurung rona ungu dengan selendang hitam, diserikan dengan kerongsang perak ketika menghadiri majlis anugerah tersebut yang berlangsung di Johor pada Khamis.
Hantaran berkenaan juga memperlihatkan sesi perkongsian beliau bersama hadirin.
“Saya nak atasi ketakutan saya. Doktor kata, 'kamu sebenarnya dah tahu apa yang kamu buat. Kamu nak jadi lebih baik dan kamu memang sedang usahakan ke arah itu," katanya yang menyuarakan tekad untuk terus memperbaiki diri dan berkembang sebagai anak seni.
Untuk makluman, beliau juga merupakan alumni Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA).
Latar akademik tersebut, digabungkan dengan pengalaman profesional yang luas, ia membuktikan bahawa perjalanan seninya dibina atas asas yang kukuh, bukan sekadar bakat semata-mata, tetapi juga hasil ilmu dan kefahaman mendalam terhadap dunia seni yang diceburinya.
Selain aktif di pentas seni, Dina juga dikenali sebagai individu yang lantang bersuara dalam isu kesihatan.
Beliau pernah berkongsi secara terbuka mengenai perjuangannya melawan gangguan mental dan cabaran menurunkan berat badan.
Kini, Dina terus aktif sebagai penyampai radio di salah sebuah stesen dan kerap diundang mengendalikan pelbagai acara serta program televisyen. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram