Wanita obesiti berisiko alami komplikasi kehamilan, lahir bayi besar


  • Maya
  • Rabu, 28 Mei 2025

Wanita obesiti berisiko melahirkan bayi dengan masalah kesihatan. — Gambar hiasan/Janaan Ai

BERAT badan berlebihan bukan sahaja menjejaskan kesihatan wanita, malah turut memberi kesan besar terhadap kehamilan dan kesihatan jangka panjang anak yang dilahirkan.

Menurut pakar perunding obstetrik dan ginekologi, Dr. Maiza Tusimin, isu ini perlu ditangani sejak bayi dalam usia kandungan lagi.

"Berat badan wanita sebelum dan semasa mengandung boleh memberi kesan besar kepada sifat kehamilan dan kesihatan bayi bukan sahaja secara genetik tetapi juga melalui gaya hidup," katanya.

BACA LAGI: Kaedah 'grounding' atasi tantrum, didik emosi si kecil kembali tenang bermain dengan alam semula jadi

BACA LAGI: Kena marah, dimalukan, anak simpan memori pahit sebagai satu bentuk ancaman, jadi 'parut' apabila dewasa

Dr. Maiza kerap berkongsi ilmu kesihatan di laman sosial peribadinya.

Risiko ibu dan anak

Obesiti dalam kalangan wanita dikaitkan dengan pelbagai masalah kesuburan seperti kitaran haid tidak teratur dan sindrom ovari polisistik (PCOS).

Keadaan ini menjejaskan kesihatan si ibu dan mengurangkan keberkesanan rawatan kesuburan seperti persenyawaan in vitro (IVF).

"Lebih 40 peratus pesakit saya mempunyai masalah kesuburan dan 90 peratus daripada mereka mengalami isu berat badan.

"Perlu diketahui bahawa walaupun penurunan berat badan hanya lima hingga 10 peratus, ia sudah boleh membantu memulihkan ovulasi dan meningkatkan peluang kehamilan," ujarnya.

Selain itu, Dr. Maiza turut menekankan bahawa kesihatan pasangan lelaki juga perlu diberi perhatian kerana masalah berat badan turut memberi kesan kepada kualiti sperma.

Kehamilan dan kesan jangka panjang

Risiko ibu hamil yang obesiti termasuklah diabetes, praeklampsia, keperluan untuk kelahiran secara pembedahan caesarean serta jangkitan kuman selepas bersalin.

"Obesiti meningkatkan keradangan dan rintangan insulin yang boleh menjejaskan perkembangan janin serta membentuk metabolisme bayi ke arah kenaikan berat badan," tambahnya.

Pengalaman dan teladan

Dr. Maiza merupakan ibu kepada empat orang anak, berkongsi dirinya pernah mengalami peningkatan berat badan sebanyak 22kg semasa kehamilan pertamanya kerana gagal mengawal pemakanan.

Namun, melalui penyusuan, senaman ringan, dan diet seimbang, dia berjaya kembali ke berat asal dalam tempoh dua bulan selepas bersalin.

Menurutnya, wanita dengan indeks jisim badan (BMI) normal perlu menambah antara 11.5 hingga 16kg semasa kehamilan, manakala bagi wanita obesiti, pertambahan hanya sekitar lima hingga sembilan kg sudah mencukupi.

Beliau turut berkongsi kisah salah seorang pesakitnya dari Rusia yang hamil dengan berat 103kg, tetapi berjaya mengekalkan berat stabil sepanjang kehamilan dengan mengamalkan diet sihat.

Bahaya bayi terlalu besar

Presiden Persatuan Perubatan Obstetrik Malaysia, Dr Vicky Ho, menekankan bahawa kelahiran bayi besar berisiko mengakibatkan komplikasi semasa bersalin.

"Bayi besar boleh menyebabkan kecederaan semasa kelahiran, hipoksia (kekurangan oksigen ke otak), dan gangguan pernafasan.

"Selain itu, ibu yang obesiti mungkin menghadapi kesukaran semasa suntikan epidural," katanya.

Ibu obesiti berpotensi besar melahirkan bayi bersaiz besar. — Gambar hiasan/Agensi

Hapuskan stigma obesiti

Dr. Ho dan Dr. Maiza dalam masa sama menekankan pentingnya menghapuskan stigma terhadap obesiti dalam kalangan wanita.

Ramai wanita enggan mendapatkan rawatan kerana takut dihakimi, menyebabkan kitaran kesihatan fizikal dan mental yang berterusan.

"Kita harus mengiktiraf obesiti sebagai penyakit kronik dan menyediakan rawatan serta bukti saintifik," ujarnya.

"Kini, pendekatan pelbagai disiplin yang melibatkan pakar pemakanan, fisioterapi dan kesihatan mental semakin banyak diamalkan dalam penjagaan ibu hamil.

"Perubahan ini bukan sahaja beretika, malah terbukti menjamin kesihatan lebih baik serta pengalaman kehamilan yang positif," kata Dr. Maiza.

Justeru, berat badan bukan sekadar soal rupa, ia berkaitan kesihatan generasi akan datang khususnya bayi bakal lahir kelak.

Dengan kesedaran awal, perubahan gaya hidup dan sokongan profesional, wanita boleh melangkah ke fasa keibuan dengan lebih yakin dan selamat. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram