Plastik ancaman senyap pada kesihatan wanita, toksin terkumpul jejas keseimbangan hormon dalam jangka masa panjang


  • Maya
  • Khamis, 05 Jun 2025

Bahan kimia dalam plastik harian seperti botol air dan bekas makanan boleh mengganggu hormon wanita tanpa disedari. — Freepik

SEMPENA sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia, satu isu kesihatan yang jarang dibincangkan tetapi semakin mendapat perhatian adalah bagaimana bahan kimia dalam plastik secara senyap mengganggu kesihatan hormon wanita.

Daripada menyimpan makanan lebihan hingga minum air botol plastik, plastik telah menjadi sebahagian daripada rutin harian semua manusia di dunia.

Namun di sebalik kemudahan itu, tersembunyi bahan kimia pengganggu endokrin (endocrine-disrupting chemicals atau EDCs) iaitu sebatian yang mengganggu fungsi hormon semula jadi badan.

BACA LAGI:Pakar dedah bagaimana secangkir kopi sehari bawa manfaat bagi wanita pertengahan usia

BACA LAGI:AI ubah rekaan dalaman, seolah-olah faham kehendak, jiwa pemilik kediaman

Bagi wanita, yang mengalami turun naik hormon sepanjang hidup mereka, gangguan itu boleh memberi kesan ketara untuk kehidupan mereka.

Antara EDC berkaitan plastik termasuklah Bisphenol A (BPA) dan phthalates, yang umum diketahui boleh meniru atau menyekat hormon estrogen dan hormon lain.

Bahan itu terdapat dalam pelbagai barangan dari pembungkusan makanan dan bekas simpanan hinggalah kepada kosmetik, produk sanitari serta pencuci rumah.

EDC sering terkumpul secara senyap dengan memasuki badan.

Senyap tapi serius hingga jejas kesihatan

Penyelidikan mengaitkan pendedahan berterusan kepada bahan kimia itu dengan pelbagai masalah kesihatan wanita seperti haid tidak teratur, ketidaksuburan, akil baligh pramatang, sindrom ovari polisistik (PCOS), endometriosis dan juga kanser payudara.

Perkara itu bukan sekadar isu terpencil yang mana ia kini menjadi kebimbangan kesihatan awam yang semakin meningkat, lebih-lebih lagi disebabkan pendedahan berterusan pada tahap rendah selama bertahun-tahun.

"Bahan kimia pengganggu endokrin tidak menyebabkan gejala serta-merta, tetapi kesannya terhadap sistem hormon boleh menjadi sangat mendalam dan berpanjangan, terutamanya kepada wanita yang mempunyai perubahan hormon lebih dinamik sepanjang hayat," kata Dr. Mahesh D M, Pakar Runding Endokrinologi di Hospital Aster CMI, Bangalore.

"Pendedahan semasa remaja, kehamilan atau menopaus boleh memberi kesan seumur hidup."

Tidak seperti toksin biasa, EDC sering terkumpul secara senyap dengan memasuki badan melalui makanan, sentuhan atau udara secara perlahan-lahan sehingga menjejaskan keseimbangan hormon.

Risiko lebih tinggi ketika fasa-fasa sensitif seperti kehamilan, remaja dan menopaus.

Kerosakan alam sekitar sehingga gangguan hormon

Kerosakan alam sekitar dan kesihatan peribadi kini semakin berkait rapat.

Plastik yang mencemarkan laut dan tapak pelupusan juga membebaskan bahan kimia berbahaya ke dalam rantaian makanan sekali gus tubuh manusia.

Pada Hari Alam Sekitar Sedunia ini, penting untuk kita sedar bahawa jejak ekologi plastik bukan sekadar memberi kesan kepada alam sekitar, ia turut meninggalkan kesan biologi.

"Di kawasan bandar, wanita sering terdedah kepada plastik bukan sahaja melalui makanan, tetapi juga melalui produk penjagaan diri yang mungkin mengandungi bahan kimia pengganggu hormon yang disembunyikan di sebalik label bahan tidak jelas," tambah beliau.

Kesedaran terhadap punca-punca itu adalah langkah pertama ke arah pencegahan.

Wanita, khususnya di kawasan bandar seperti India berisiko lebih tinggi disebabkan penggunaan harian barangan berbungkus, kosmetik, dan bekas plastik.

Produk yang dilihat menawarkan kemudahan dan kebersihan mungkin sebenarnya menyumbang kepada masalah kesihatan jangka panjang.

Walaupun sukar untuk mengelak plastik sepenuhnya, beberapa perubahan kecil yang lebih berhati-hati boleh membantu mengurangkan pendedahan:

1. Gunakan bekas kaca atau keluli tahan karat untuk menyimpan makanan dan air minuman.

2. Elakkan memanaskan makanan dalam bekas plastik, walaupun ia dilabel selamat untuk gelombang mikro.

3. Pilih produk penjagaan diri bebas pewangi atau organik yang biasanya lebih telus dari segi bahan kandungan.

4. Kurangkan pengambilan makanan dalam tin atau dibungkus secara berlebihan.

5. Baca label produk terutamanya kosmetik dan produk bayi.

Amalan itu, jika diterapkan, bukan sahaja dapat melindungi kesihatan hormon tetapi mengurangkan kesan alam sekitar daripada isi rumah.

Produk yang dilihat menawarkan kemudahan dan kebersihan mungkin sebenarnya menyumbang kepada masalah kesihatan jangka panjang.

Kesedaran membawa kuasa

Kebanyakan wanita membuat pelbagai keputusan harian untuk rumah dan keluarga mereka.

Dengan memilih produk lebih selamat dan menyebarkan kesedaran, mereka boleh mencetuskan perubahan besar ke arah kesihatan dan kelestarian yang lebih baik.

Pada Hari Alam Sekitar Sedunia ini, marilah kita melihat lebih jauh daripada pencemaran udara dan perubahan iklim.

Marilah kita menilai semula produk kita gunakan, pembungkusan dan kesan kesihatan jangka panjang yang jarang dipersoalkan.—Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram