
MUNTAH merupakan salah satu situasi biasa dialami oleh bayi baru lahir.
Namun, perlu diketahui bahawa tidak semua muntah itu normal kerana ia boleh menjadi petanda kesihatan mereka sama ada dalam keadaan baik ataupun tidak.
Menurut perkongsian pakar pediatrik terkenal, Dr. Redza Zainol di laman Instagram pada Khamis, ibu bapa perlu peka terhadap jenis warna muntah bayi kerana ia boleh menjadi petunjuk awal kepada masalah kesihatan serius.
BACA LAGI: Panduan ibu hamil, ketahui 10 istilah perubatan dalam 'buku pink'
BACA LAGI: [VIDEO] Kongsi perjuangan ibu menyusu, Tya Arifin bawa stok susu badan terbang ke Malaysia
Jelasnya, bayi yang baru lahir boleh muntah sebelum atau selepas menyusu dan keadaan ini boleh terjadi dalam situasi berbeza-beza bergantung kepada sistem pencernaan bayi yang masih belum matang.
Tiga jenis warna muntah perlu dikenal pasti
Berikut merupakan tiga jenis warna muntah yang sering dihadapi dalam kalangan bayi baru lahir dan setiap satunya mempunyai maksud tersendiri:
1. Muntah berwarna jernih
Muntah jernih lazimnya berlaku dalam tempoh awal kelahiran.
"Semasa dalam kandungan, bayi menelan air ketuban. Apabila bayi dilahirkan, masih ada baki air ketuban dalam perut mereka.
"Muntah jernih itu mungkin adalah air ketuban yang belum habis dikeluarkan," katanya.
Namun, muntah jenis ini menurutnya tidak membimbangkan dan akan berhenti dengan sendirinya dalam masa beberapa hari selepas lahir.
2. Muntah berwarna kuning
Jika bayi muntah berwarna kuning sekali-sekala dalam masa sama masih aktif menyusu dengan baik, ia dianggap normal.
Warna ini biasanya menandakan bahawa susu belum hadam sepenuhnya.
Walau bagaimanapun, Dr. Redza menasihatkan sekiranya ia berlaku berulang kali dalam tempoh seharian, ibu bapa perlu segera membawa bayi ke klinik atau hospital kerana boleh menjadi tanda awal masalah pencernaan.
3. Muntah berwarna hijau (amaran bahaya)
Berbanding tiga warna dinyatakan, kategori ini merupakan situasi paling membimbangkan kerana muntah hijau menandakan si bayi menghidap masalah serius.
Contoh muntah hijau hasil perkongsian Dr. Redza di laman sosial.
"Muntah hijau mungkin petanda sumbatan pada usus bayi, lebih-lebih lagi jika ia berlaku serentak dengan perut bayi yang mengembung besar.
"Ini adalah situasi kecemasan dan perlu rawatan segera di hospital," tegasnya.
Simptom bayi perlu diperhatikan
Selain daripada warna muntah, terdapat beberapa tanda lain yang turut menunjukkan bayi mungkin mengalami masalah kesihatan:
- Berat badan bayi tidak bertambah langsung.
- Perut mengembung hingga kulit kelihatan tegang dan berkilat.
- Tiada pembuangan air besar dalam tempoh 24 jam pertama selepas dilahirkan.
- Bayi kelihatan sangat letih atau tidak aktif.
Justeru, muntah bayi baru lahir tidak semestinya satu perkara yang serius, tetapi warna dan kekerapan ia terjadi perlu dipantau dengan teliti.
Ibu bapa disarankan agar tidak teragak-agak untuk mendapatkan nasihat perubatan jika terdapat sebarang perubahan luar biasa pada bayi.
Dengan ilmu yang tepat, ibu bapa dapat mengesan masalah lebih awal dan memberikan rawatan yang sesuai demi kesejahteraan si kecil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram