
BAGI ibu bapa baharu, rutin memandikan bayi mungkin kelihatan mudah pada pandangan pertama.
Namun, hakikatnya ia memerlukan pengetahuan khusus serta pendekatan yang sesuai dengan tahap perkembangan bayi.
Kulit bayi yang masih lembut dan sistem tubuh yang belum matang menjadikan proses mandi bukan sekadar aktiviti kebersihan, tetapi juga aspek penting dalam penjagaan kesihatan serta keselamatan si kecil.
BACA LAGI: Sihat atau tidak? Panduan ibu bapa kenal pasti jenis muntah bayi berdasarkan warna
Teknik mandian yang betul memainkan peranan penting dalam kesihatan si bayi. — Gambar hiasan/Agensi
Ramai ibu bapa baru anggap mandikan bayi itu mudah, tetapi hakikatnya, ia memerlukan teknik dan perhatian yang betul mengikut peringkat usia si kecil.
0–2 minggu: Fasa 'newborn' – Elak rendam, cukup sekadar lap
Pada minggu pertama kelahiran, tali pusat bayi masih belum tanggal. Dalam tempoh ini, elakkan merendam bayi sepenuhnya sebaliknya, mandikan si kecil dengan kaedah 'sponge bath'.
Cukup lap badan bayi menggunakan kain lembut dan air suam, terutamanya di kawasan pelipat, leher dan punggung yang mudah berpeluh.
Lap dengan satu arah sahaja untuk elakkan geseran kuat kerana kulit bayi sangat halus dan sensitif. Mandian dua hingga tiga kali seminggu sudah memadai.
2 minggu–3 bulan: Masa untuk pertama kali mandi dalam tab
Apabila tali pusat sudah tanggal, bayi boleh mula direndam dalam tab mandi.
Gunakan air suam hingga paras pinggang bayi dan sabun khas yang selamat serta sesuai dengan kulit si kecil.
Ibu bapa dilarang sama sekali menggunakan sabun orang dewasa kerana ia boleh merengsakan kulit bayi.
Sentiasa uji suhu air dengan siku, bukan tangan, kerana siku lebih sensitif dan yang paling penting, jangan tinggalkan bayi sendirian dalam tab walaupun sesaat kerana malang tidak berbau.
3 hingga 6 bulan: Fasa aktif, mandi jadi 'showtime'
Bayi di fasa ini mulai aktif dan suka menendang air dan waktu mandi boleh bertukar riuh ekoran keriangan si manja saat bermain air.
Mandikan bayi dua hingga tiga kali seminggu, atau lebih jika dia mudah kotor.
Untuk keselamatan, gunakan alas mandi 'anti-slip' dengan sokongan span.
6 hingga 12 Bulan: Masa bermain air
Di usia ini, bayi sudah boleh bermain dengan air namun, gunakan sabun dan syampu yang mesra bayi kerana kulit mereka masih sensitif.
Mandikan bayi antara tiga hingga empat kali seminggu atau setiap hari jika mereka aktif.
Selepas mandi, balut bayi terus dengan tuala seperti 'burrito' untuk elak daripada kesejukan ataupun demam.
1 hingga 3 Tahun: Zaman 'toddler', fasa penuh keriangan
Anak kecil sudah boleh diajar mandi sambil berdiri, tetapi masih perlu diawasi dan ini merupakan waktu sesuai untuk memperkenalkan sabun untuk mereka belajar berdikari.
Mandi setiap hari amat digalakkan bagi bayi di usia ini terutamanya jika anak aktif bermain di luar rumah.
Ibu bapa juga digalakkan mendidik anak mengenal anggota tubuh sekali gus membantu perkembangan kosa kata serta rutin hidup mereka.
Justeru, setiap peringkat usia bayi memerlukan pendekatan yang berbeza ketika mandi.
Ibu bapa khususnya perlu peka terhadap perubahan dan keperluan bayi dari segi keselamatan serta produk yang digunakan dan cara mandi.
Paling utama, jadikan waktu mandi bukan sahaja rutin harian, malah juga berperanan sebagai masa berkualiti bersama si manja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram