
RATA-RATA penggiat industri kecantikan meluahkan kelegaan susulan pengumuman kerajaan yang mengecualikan perkhidmatan kecantikan daripada peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Pendandan rambut terkenal, Chez Hamdan mengakui, pelaksanan SST sebanyak lapan peratus akan menambahkan kos dalam operasi perniagaannya.
Bagaimanapun menurutnya, meskipun pengecualian itu membantu mengurangkan tekanan kewangan terhadap penyedia perkhidmatan, mereka masih terbeban dengan kos lain yang turut dikenakan SST.
BACA LAGI: Hindari ‘cukai atas cukai’, SST alternatif mampan di era pemulihan ekonomi
Chez Hamdan mengakui, pelaksanan SST sebanyak lapan peratus akan menambahkan kos dalam operasi perniagaannya. — Instagram/chezhamdan
“Pengecualian ini tidak termasuk pembelian bahan mentah daripada pembekal dan juga sewa premis.
"Jadi, tetap ada kenaikan kos di situ. Yang kami boleh lakukan ialah menyerap kenaikan tersebut dan cuba mengekalkan harga lama.
"Jika kami menaikkan harga, ia pasti memberi kesan kepada perniagaan dan membebankan pelanggan sekali gus membuatkan mereka berkira-kira untuk datang,” katanya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut mengenai peruntukan lain bagi menyokong pertumbuhan sektor kecantikan tempatan, ujar Chez Hamdan, kerajaan digesa untuk mempertimbangkan bantuan tambahan kepada pemain industri.
Jelasnya, ia termasuk pemberian rebat cukai terhadap perbelanjaan penjagaan diri atau grooming.
“Semua rakyat Malaysia perlu kelihatan kemas dan terurus, bukan hanya selebriti.
"Pengurangan cukai terhadap perbelanjaan grooming sepatutnya diberikan kepada semua kerana ia adalah satu keperluan, bukan lagi kehendak,” tambahnya.
Chez Hamdan berharap kerajaan dapat mempertimbangkan bantuan tambahan kepada pemain industri.
Suara penggiat industri
Sementara itu, pemilik Tini's Spa, Hartini Halim berkata, keputusan itu bukan sahaja membantu menstabilkan kos operasi, malah meningkatkan keyakinan pelanggan untuk terus mendapatkan rawatan di pusat kecantikan dan spa.
Beliau menambah, dalam situasi ekonomi yang mencabar, pelanggan sangat peka terhadap sebarang kenaikan harga.
"Jika SST dikenakan, sudah tentu kos rawatan perlu dinaikkan, yang boleh menjejaskan jumlah pelanggan dan seterusnya pendapatan perniagaan,” jelasnya.
Beliau turut memberitahu, Tini’s Spa telah berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia sejak 1 April 2024 dan mendapat arahan untuk mengenakan SST sebanyak lapan peratus semenjak itu.
Hartini menyambut baik keputusan mengecualikan perkhidmatan kecantikan daripada peluasan skop SST.
Namun katanya, pelaksanaan itu menerima maklum balas kurang menyenangkan daripada pelanggan.
"Ramai pelanggan mengadu harga meningkat apabila SST dikenakan, terutama bagi rawatan wajah dan urutan yang dianggap sebagai keperluan rutin bagi sesetengah golongan.
"Dengan pengecualian ini, pelanggan lebih yakin bahawa harga kekal berpatutan, sekali gus menggalakkan mereka meneruskan atau meningkatkan kekerapan ke spa," ujarnya menambah Tini’s Spa sudah beroperasi selama 20 tahun.
Dalam pada itu, Hartini berharap agar kerajaan mengambil kira suara dan keperluan industri kecantikan, membuat kajian terperinci dalam merangka sebarang dasar percukaian pada masa hadapan.
"Ia penting kerana setiap kenyataan daripada pihak kerajaan bakal memberi impak sama ada negatif atau pun positif, terutama kepada perniagaan usahawan kecil dan sederhana (PKS)," katanya.
Selain itu, jelas beliau, perkhidmatan kecantikan turut memainkan peranan dalam aspek kesihatan mental dan keyakinan diri rakyat.
Rawatan wajah dianggap sebagai keperluan rutin bagi sesetengah golongan. — Gambar hiasan
Justeru, beliau berharap sebarang dasar percukaian yang bakal dilaksanakan akan lebih bersifat progresif, telus dan tidak membebankan pengusaha serta pelanggan.
"Kerajaan juga boleh mempertimbangkan insentif atau sokongan khas untuk membantu perkembangan industri kecantikan tempatan agar lebih berdaya saing di peringkat domestik dan antarabangsa," bicaranya.
Untuk rekod, Kementerian Kewangan (MOF) pada Jumaat memaklumkan, perkhidmatan kecantikan akan dikecualikan daripada peluasan skop SST merangkumi rawatan kuku dan wajah serta khidmat gunting dan pendandan rambut.
“Selepas meneliti sentimen awam, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan memutuskan untuk tidak meneruskan cukai berkenaan kepada perkhidmatan kecantikan,” menurut MOF menerusi satu kenyataan.
Sebelum ini, MOF mengumumkan perkhidmatan kecantikan antara enam sektor baharu yang akan dikenakan cukai antara lima hingga 10 peratus selepas peluasan SST berkuatkuasa 1 Julai ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram