Bintang A-list di resepsi Lauren Sanchez, kahwini Jeff Bezos, lelaki terkaya dunia


  • Sukses
  • Sabtu, 28 Jun 2025

Sanchez menyarung gaun Dolce & Gabbana pada majlis perkahwinannya yang berlangsung Jumaat lepas di Venice, Itali.

SAAT dunia meraikan perkahwinan mewah antara Lauren Sanchez dan pengasas Amazon, Jeff Bezos, tumpuan turut terarah kepada kumpulan sahabat selebriti yang membentuk lingkaran sosial Sanchez. 

Bekas wartawan dan penyampai televisyen itu bukan sekadar menjadi tumpuan kerana hubungan cintanya, malah persahabatan rapat yang terjalin dengan barisan wanita berpengaruh Hollywood.

Sanchez, yang mula membina jaringan selebritinya sejak zaman awal sebagai pengacara televisyen, kini dikelilingi penyanyi, pelakon, model dan usahawan terkenal. 

BACA LAGI: Tak perlu tempat 'fancy', taikun GoPro, Amazon rupanya bermula dari rumah

BACA LAGI: Katy Perry antara 6 kru wanita bakal sertai misi ke angkasa lepas menaiki roket Blue Origin

Hubungan itu semakin erat sejak beliau mula bercinta dengan Bezos pada 2019 dan bertunang pada 2023, hinggalah akhirnya berkahwin pada Jumaat di Venice, Itali.

1) Keluarga Kardashian

Kim (dua dari kiri) dan Sanchez sering saling menghantar mesej membina semangat.

Antara sahabat paling rapat Sanchez ialah ahli keluarga Kardashian, iaitu Kim, Khloe dan ibu mereka, Kris Jenner. 

Persahabatan mereka bermula selepas memiliki minat sama terhadap fesyen dan semakin rapat selepas insiden lucu berebut gaun Balenciaga semasa Minggu Fesyen New York. 

Kim berkongsi bahawa mereka sering saling menghantar mesej membina semangat dan Sanchez tidak pernah lokek memuji. 

"Beliau benar-benar seorang penyokong sesama wanita," kata Kim kepada Vogue.

2) Eva Longoria

Sanchez turut menjalin hubungan erat dengan aktres Eva Longoria. Kedua-dua wanita tersebut dikenali aktif dalam kerja kebajikan dan pada 2024, Longoria menerima Bezos Courage & Civility Award bernilai AS$50 juta (RM21 juta) hasil pencalonan Sanchez. 

Mereka berkongsi visi untuk memperkasa komuniti Latin yang kurang diwakili dalam media.

3) Katy Perry 

Perry (belakang, kiri) meneroka angkasa bersama Sanchez pada April 2025.

Katy Perry yang meneroka angkasa bersama Sanchez pada April 2025 turut menjadi sebahagian daripada lingkaran rapatnya. 

Walaupun Perry tidak dapat hadir ke majlis perkahwinan kerana komitmen konsert di Australia, mereka sempat meraikan pesta bujang di Paris bersama sebelum itu.

4) Brooks Nader

Model, Brooks Nader pula menjadi rakan baharu Sanchez sejak 2024. Mereka dilihat bersama dalam beberapa acara berprofil tinggi di Itali dan Amerika Syarikat (AS). 

Di Instagram, Sanchez memanggilnya 'My girl', menggambarkan keakraban mereka.

5) Jennifer Lopez

Sanchez juga menjalin persahabatan dengan Jennifer Lopez sejak 2020. Lopez bukan sahaja rakan, tetapi turut menjadi inspirasi gaya kepada Sanchez. 

Dalam satu wawancara di The View, Sanchez menyebut nama Lopez, Eva Longoria, Salma Hayek dan Sofia Vergara sebagai wanita Latin yang membanggakan budaya mereka dengan penuh keyakinan.

6) Keluarga Hilton

BEVERLY HILLS, CALIFORNIA - MARCH 14: Paris Hilton, Kathy Hilton and Nicky Hilton Rothschild attend MCM Global Flagship Store Grand Opening On Rodeo Drive at MCM Global Flagship Store on March 14, 2019 in Beverly Hills, California. (Photo by Amy Sussman/Getty Images)

Paris, Kathy dan Nicky turut tersenarai dalam kumpulan sahabat Sanchez.

Turut tersenarai dalam kumpulan sahabat Sanchez ialah keluarga Hilton, yakni Paris, Nicky dan ibu mereka, Kathy yang hadir ke pelancaran buku kanak-kanaknya, The Fly Who Flew to Space pada September 2024.

7) Jessica Alba

Antara rakan lama Sanchez ialah Jessica Alba. Mereka berkawan sejak 2005 dan sering menghadiri acara bersama. 

Alba juga lantang mempertahankan Sanchez apabila projek angkasa mereka dikritik.

Alba (gambar) dan Sanchez berkawan sejak 2005 dan sering menghadiri acara bersama. 

8) Miranda Kerr

Miranda Kerr, bekas model Victoria’s Secret, hadir ke parti pertunangan Sanchez dan Bezos serta majlis pelancaran bukunya. 

Sanchez memuji Kerr sebagai antara wanita yang memberi ruang kepada wanita lain untuk sama-sama duduk di meja kejayaan.

9) Nina Garcia

Rangkaian persahabatan Sanchez turut merentasi bidang kewartawanan. Editor majalah Elle, Nina Garcia yang berkongsi warisan Latin dengannya, menyifatkan Sanchez sebagai wanita dengan semangat tinggi dan keinginan kuat untuk membawa perubahan positif.

10) Elsa Marie Collins

Tidak ketinggalan ialah aktivis sosial yang menjadi teman rapat Sanchez, Elsa Marie Collins.

Beliau menerima sumbangan peribadi AS$1 juta (RM4 juta) daripada Sanchez untuk organisasi This Is About Humanity. 

Collins menyifatkan Sanchez sebagai seseorang yang 'bangun pagi memikirkan bagaimana mahu membantu orang lain'.

Dengan rangkaian sahabat wanita yang kuat dan berpengaruh, Sanchez bukan sahaja bergelar isteri kepada salah seorang lelaki terkaya di dunia, tetapi juga wanita yang dihormati dalam kalangan selebriti kerana keikhlasan, semangat dan sokongannya terhadap wanita lain. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram