
TINDAKAN sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi II di Kota Belud, Sabah menyambut hari perpisahan guru kesayangan dengan cara luar biasa mengundang sebak dalam kalangan warga maya.
Menerusi rakaman dikongsikan pemilik akaun TikTok @buekpahitjoo, difahamkan, para pelajar membuat prank terhadap guru dikenali sebagai Cikgu Lalim, dengan berpura-pura salah seorang rakan mereka mengalami kecederaan di tangan hingga berdarah.
Video itu memaparkan Cikgu Lalim berlari dalam keadaan panik menuju ke bengkel selepas mendengar berita itu.
Sebaik masuk ke ruangan tersebut, beliau dikejutkan dengan kehadiran seorang pelajar memegang kek, sambil yang lain bertindak merakam momen penuh emosi itu.
Reaksi guru berkenaan nyata menyentuh hati ramai pengguna media sosial.
Lebih menarik perhatian apabila lelaki berkenaan, yang juga merupakan guru Pendidikan Seni dan guru disiplin sekolah, mengenakan rantai leher bertemakan kartun popular The Simpsons.
Penampilan itu menyerlahkan sisi lucunya meskipun terkenal sebagai seorang guru yang tegas.
Dalam hantaran berbeza, suasana perpisahan semakin mengharukan apabila guru itu dilihat menekap tapak tangannya di atas kertas lukisan pelajar sebagai kenangan terakhir bersama mereka.
Lukisan tersebut difahamkan merupakan hasil tangan pelajar kelas 5 Delima.
“Semoga 5 Delima berjaya dunia akhirat. Janji mahu dapat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang terbaik tahun ini. Saya bayar RM50 seorang,” ucap Cikgu Lalim.
Difahamkan, guru berkenaan akan berpindah ke sekolah baharu dan pemergiannya akan meninggalkan kesan yang besar khusus buat pelajar kendaliannya.
Ruangan komen turut dibanjiri dengan penghargaan dan kenangan manis daripada bekas anak muridnya.
“32 tahun lalu Cikgu Lalim sudah menjadi cikgu saya, aura gurunya masih ada sampai sekarang.
"Sempat jumpa Cikgu Lalim dua tahun lepas semasa datang ke sekolahnya mengajar. Terima kasih, Cikgu Lalim.” ujar nzperdana.
“Murid apabila selesa dengan guru, dia sanggup buat sesuatu yang luar biasa untuk gurunya. Semoga ramai lagi anak murid yang menghormati guru seperti ini,” tulis bonzidane.
Malah ada juga yang berkata, semasa Cikgu Lalim mengajar di SMK Pekan Kota Belud, para pelajar tidak memanggilnya cikgu, sebaliknya lebih selesa memanggil beliau dengan gelaran ‘bapa’. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram