Hindari ‘cukai atas cukai’, SST alternatif mampan di era pemulihan ekonomi


  • Bisnes
  • Khamis, 26 Jun 2025

SST lebih bersasar dan tidak membebankan rakyat berpendapatan rendah serta sederhana.

PELAKSANAAN Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai ini terus menjadi tumpuan dalam membahaskan dasar fiskal negara.

Langkah itu juga menimbulkan persoalan penting dalam kalangan rakyat yang masih segar mengingati pengalaman pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) beberapa tahun lalu.

Dengan penguatkuasaan terbaharu bulan depan, kebimbangan mula timbul berikutan kemungkinan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup, yang berisiko menjejaskan corak perbelanjaan masyarakat.

BACA LAGI: Harga barang kami jual tidak akan naik sebab SST meningkat — Ameer Ali Mydin

BACA LAGI: 'Sebagai individu terlibat dalam bidang jualan, saya perlu sentiasa rapi', wanita bekerjaya bimbang SST naik jejas kos penjagaan diri

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Dr Mohd Fairuz A Razak berkata, daripada satu sudut, SST dilihat lebih bersasar dan tidak membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah serta sederhana.

Menurutnya, ia berbeza dengan GST yang mengenakan cukai pada hampir semua peringkat transaksi termasuk barangan asas kecuali yang disenaraikan sebagai kadar sifar. 

"Sebaliknya, SST tidak dikenakan pada jualan runcit kebanyakan makanan asas dan perkhidmatan penting, menjadikan kesannya kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana lebih minimum. 

"Dalam konteks Malaysia, kerajaan memilih SST sebagai satu bentuk sistem percukaian lebih ringkas dan disasarkan, selari dengan kemampuan pentadbiran serta tahap literasi percukaian semasa," katanya kepada Majoriti.

Mohd Fairuz berkata, SST dilihat lebih bersasar dan tidak membebankan rakyat.

Mengulas lanjut mengenai manfaat pelaksanaan SST kepada rakyat, Mohd Fairuz berkata, melalui sistem percukaian itu, kebanyakan barangan keperluan asas seperti beras, sayur, ikan dan ubat-ubatan dikecualikan daripada cukai. 

Jelasnya, ia berupaya membantu golongan B40 dan M40 yang menggunakan sebahagian besar pendapatan untuk membeli barangan asas.

"Sebagai contoh, sabun dan tuala wanita yang dahulu dikenakan GST, kini tidak lagi dikenakan cukai di bawah sistem SST, sekali gus membantu mengawal kos sara hidup," katanya.

Tambah Mohd Fairuz, SST hanya dikenakan di satu peringkat, lazimnya kepada pengeluar bagi menghindari cukai bertindih atau 'cukai atas cukai' yang berlaku semasa era GST. 

Hal tersebut ujarnya, membantu memastikan harga barangan kekal stabil dan tidak mengalami lonjakan ketara akibat cukai.

“Kesan inflasi juga lebih terkawal kerana SST tidak dikenakan di semua peringkat rantaian pengeluaran. 

"Ini membantu mengekalkan harga barangan harian yang lebih mampu milik,” maklumnya.

Shoppers browse and purchase health products at traditional Chinese medicine (TCM) shops and pharmacies. Amid rising concerns over fake products and unlicensed practitioners in the TCM sector, authorities are ramping up efforts to regulate the market and protect consumers from potentially harmful or fraudulent health remedies. (MAY 16 2025) — ART CHEN/The StarReporter: KHOO GEK SAN

Barangan keperluan asas seperti ubat-ubatan turut dikecualikan daripada cukai. 

Mesra perniagaan kecil dan mikro

Mohd Fairuz berpandangan, SST juga lebih mudah difahami dan diurus berbanding GST yang rumit dengan pelbagai kategori cukai seperti kadar standard, kadar sifar dan dikecualikan.

Katanya, kemudahan sistem itu memberi keyakinan kepada rakyat bahawa mereka tidak dikenakan cukai tersembunyi. 

"Ia turut memberi kesan psikologi positif kerana rakyat tidak lagi rasa terbeban secara senyap,” jelasnya.

Selain itu, SST turut memberi fokus kepada barangan mewah dan perkhidmatan, bukan keperluan seperti hotel bertaraf lima bintang, insurans dan hiburan.

Jelas beliau, ia sekaligus bermakna mereka yang berkemampuan untuk berbelanja lebih, adalah golongan yang akan membayar cukai lebih tinggi.

"Antara contoh barangan dikenakan SST termasuk basikal lumba, ikan salmon dan buah-buahan import, sesuatu yang tidak memberi kesan besar kepada majoriti rakyat biasa,” katanya.

A women receiving a facial treatment at Honesty Aesthetic Beauty & Wellness spa at Bandar Kinrara,Puchong.. —AZHAR MAHFOF/The Star

SST memberi fokus pada barangan mewah dan perkhidmatan bukan keperluan.

Mesra perniagaan 

Beliau turut berpendapat, beberapa ciri utama SST menjadikannya lebih mudah dipatuhi, terutamanya bagi perniagaan mikro dan baharu yang sering berdepan cabaran kewangan serta kekangan sumber.

Antaranya termasuk pendaftaran lebih terhad kepada perniagaan berskala besar.

Menurut Mohd Fairuz, antara kelebihan utama sistem tersebut adalah ambang pendaftaran lebih tinggi, iaitu peniaga hanya perlu berdaftar untuk SST jika jualan melebihi RM500,000 setahun bagi kebanyakan kategori. 

"Banyak PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) terutamanya yang baru bermula atau berskala mikro tidak diwajibkan mendaftar atau mengutip cukai. 

“Ini mengurangkan kos pematuhan bagi peniaga kecil, seterusnya memastikan harga jualan di gerai, pasar malam dan warung kekal berpatutan untuk pengguna,” bicaranya lagi.

Seterusnya, cukai hanya dikenakan di peringkat tertentu atau cukai seperingkat (single-stage tax). 

Ujarnya, tidak seperti GST yang dikenakan di setiap peringkat rantaian nilai (multi-stage), SST hanya dikenakan sekali, iaitu peringkat pengilang atau penyedia perkhidmatan tertentu. 

"Ciri tersebut menjadikan sistem ini lebih mudah diurus, khususnya bagi PKS yang tidak perlu menyimpan rekod terperinci cukai input dan output.

“Pengurusan akaun lebih ringkas dan tidak memerlukan latihan atau sistem khas yang kompleks untuk memantau aliran cukai,” tambahnya.

Qra aims to deliver a community rooted, customer-centric, thoughtfully curated shopping experience.

Sistem percukaian perlu dilihat bukan semata-mata dari segi hasil, tetapi juga kesannya terhadap masyarakat.

Selain itu, bagi PKS, pematuhan kepada peraturan cukai boleh menjadi beban besar. 

Namun jelas Mohd Fairuz, di bawah SST, keperluan laporan bulanan dan audit cukai adalah jauh lebih ringkas berbanding GST.

“Tiada keperluan untuk sistem perakaunan kompleks atau sofistikated. 

"PKS boleh menggunakan sistem akaun asas, tanpa perlu melabur dalam ERP (enterprise resource planning) atau perisian cukai khas yang mahal,” katanya.

Beliau menambah, majoriti PKS di Malaysia terdiri daripada perniagaan keluarga, warisan, penjaja dan peniaga runcit yang beroperasi secara separa formal. 

SST jelasnya, tidak mengenakan tekanan pematuhan yang berat, menjadikan sistem itu lebih selari dengan realiti perniagaan tempatan.

“Ia juga memberi keyakinan kepada lebih ramai usahawan untuk mendaftar dan beroperasi secara sah, tanpa takut dibebani peraturan ketat yang boleh membantutkan pertumbuhan,” maklumnya.

Dengan SST yang hanya dikenakan di satu peringkat, harga produk akhir juga tidak mengalami kenaikan berlapis akibat cukai bertindih. 

Menurutnya lagi, PKS yang menjual terus kepada pengguna boleh menawarkan harga lebih kompetitif.

“Ini bukan sahaja meningkatkan daya saing perniagaan kecil, malah menggalakkan pengguna menyokong produk tempatan,” ujarnya.

Majoriti PKS di Malaysia terdiri daripada perniagaan keluarga, warisan, penjaja dan peniaga runcit yang beroperasi secara separa formal. 

Reformasi fiskal

Mengupas lebih terperinci, akui beliau, pelaksanaan SST yang diperluas adalah selari dengan prinsip tanggungjawab fiskal dan nilai Madani. 

Menurut Mohd Fairuz, dengan mengenakan cukai hanya kepada barangan dan perkhidmatan tertentu, ia menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kesejahteraan rakyat serta nilai ihsan. 

Beliau berkata, SST juga mewujudkan sistem cukai lebih adil dengan memastikan golongan berpendapatan tinggi menyumbang lebih kepada hasil negara, manakala rakyat biasa tidak terbeban secara langsung.

“Ia sesuai dengan prinsip Madani iaitu membina sistem ekonomi adil dan tidak membebankan golongan rentan," katanya.

Dalam pada itu, jelas beliau, berbanding GST, SST lebih mudah dilaksanakan, dipantau dan difahami. 

Ini ujarnya, mengurangkan risiko penipuan cukai selain menggalakkan pengurusan hasil negara lebih telus dan amanah. 

"Struktur SST juga membantu mengimbangi kedudukan fiskal tanpa pergantungan keterlaluan kepada pinjaman luar.

"Langkah ini menunjukkan keazaman kerajaan dalam mengangkat nilai amanah dan integriti dalam pengurusan fiskal negara," ungkapnya.

KUALA LUMPUR, 17 Feb -- Gelagat murid-murid sekolah rendah pada hari pertama sesi persekolahan 2025/2026 ketika tinjauan FotoBernama di Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi hari ini.--fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Hasil cukai yang dikutip digunakan untuk membiayai subsidi bersasar, sistem kesihatan, pendidikan dan infrastruktur awam.

Beliau menambah, walaupun SST tidak menghasilkan kutipan sebesar GST, pendekatan tersebut dilihat lebih mampan dalam jangka panjang. 

Katanya, hasil yang dikutip mampu digunakan untuk membiayai subsidi bersasar, sistem kesihatan, pendidikan dan infrastruktur awam.

“Dalam fasa pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19, SST lebih sesuai sebagai pendekatan seimbang antara hasil dan kebajikan.

"Ia sejajar dengan nilai Madani, mengutamakan kelestarian fiskal jangka panjang yang tidak mengorbankan kesejahteraan rakyat,” jelasnya.

Peluasan skop SST bukan sekadar strategi kewangan, tetapi satu langkah penstrukturan sistem cukai yang lebih adil dan lestari. 

Namun, kerajaan juga diharapkan dapat menambah baik sistem tersebut dengan mengekalkan pengecualian bersasar bagi barangan asas dan menyelaraskan SST dengan sistem e-invois untuk ketelusan.

"Selain itu, kerajaan juga perlu mengkaji semula kadar dan ambang pendaftaran secara berkala dan mewujudkan mekanisme cukai input terhad bagi industri tertentu," kata beliau.

Dalam era digital dan realiti ekonomi baharu, sistem percukaian perlu dilihat bukan semata-mata daripada segi hasil, tetapi juga kesannya terhadap masyarakat.

SST jika dilaksanakan secara bijaksana, diyakini mampu menjadi alat fiskal berteraskan nilai Madani, adil, berintegriti dan menyantuni rakyat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram