
DALAM dunia perniagaan, saiz permulaan sesuatu perusahaan bukan penentu kepada kejayaan bakal dikecapi.
Sejarah membuktikan ramai usahawan hebat termasuk yang berstatus bilionair adalah mereka yang memulakan langkah dari tempat cukup sederhana termasuk daripada garaj rumah atau di bilik kecil di tempat tinggal masing-masing.
Perkara membezakan mereka berbanding usahawan lain bukan modal besar atau pejabat mewah, tetapi keberanian mencuba, keupayaan melihat peluang di sebalik cabaran dan kesanggupan bagi terus belajar serta berkembang.
BACA LAGI: 120 jam tangan edisi khas M. Nasir laris, Artwist.Co tepis skeptikal kualiti jenama tempatan
Berikut merupakan empat usahawan berpengaruh dunia yang memulakan perniagaan dari rumah:
1. Richard Branson
Richard mula mendapat perhatian selepas kejayaannya dalam industri muzik. — Agensi
Pada 1968, Pengasas Virgin Group, Richard menerbitkan majalah pelajar dikenali sebagai Student dari ruang tamu rumah keluarganya di London, United Kingdom (UK).
Majalah itu memberi ruang kepada suara generasi muda menjana pendapatan melalui iklan.
Walaupun perusahaan tersebut tidak menghasilkan kejayaan daripada segi kewangan, ia menjadi titik permulaan kepada perjalanan keusahawannya.
Pada usia awal 20-an, Branson menyedari peluang dalam industri muzik dan menggunakan rumahnya sebagai pusat operasi untuk menjual rekod muzik murah melalui pesanan pos.
Perusahaan itu menjadi asas kepada penubuhan Virgin Records yang seterusnya berkembang kepada rangkaian kedai muzik dan studio rakaman yang melahirkan artis terkenal seperti Mike Oldfield, The Sex Pistols, dan Rolling Stones.
Selepas kejayaan tersebut, Richard mengembangkan Virgin Group ke pelbagai industri termasuk dalam industri penerbangan Virgin Atlantic.
Setakat awal 2025, beliau dianggar mempunyai kekayaan bersih sekitar $2.5 bilion (RM11.165 bilion).
2. James Dyson
Vakum ciptaan James merevolusikan teknologi alatan pembersih rumah terbabit. — Agensi
Pada 1978, James Dyson yang merupakan pengasas Dyson Ltd. berdepan masalah ketika menggunakan pembersih vakum konvensional yang sering kehilangan tenaga sedutan kerana begnya tersumbat dengan habuk.
Terinspirasi daripada teknologi siklon industri yang digunakan untuk memisahkan partikel udara dalam kilang, beliau mencuba menerapkan konsep sama pada pembersih vakum di rumah.
Di kediamannya di Bath, England, James yang ketika itu bekerja sebagai pereka industri menyelongkar kembali vakum miliknya dan memasang alat siklon yang dibuat secara sederhana hanya dengan menggunakan kadbod.
Selama lima tahun, beliau menghasilkan sebanyak 5,127 prototaip sebelum akhirnya berjaya mencipta model yang berfungsi dengan baik, sekali gus mencipta revolusi dalam penciptaan vakum tanpa beg habuk.
Pada 1993, beliau menubuhkan syarikatnya sendiri dan melancarkan produk pertamanya, Dyson DC01, yang menggunakan teknologi siklon ganda untuk menyedut habuk dengan lebih cekap.
Produk ini mendapat sambutan luar biasa dan menjadi asas kepada kejayaan syarikat Dyson.
Pada 2023, Dyson Ltd. mencatatkan pendapatan global sebanyak RM39.53 bilion dengan jumlah keuntungan mencecah RM7.79 bilion.
3. Nick Woodman
Nick bersama kamera keluaran GoPro yang mudah digunakan untuk merakam aktiviti lasak. — Agensi
Selepas mengalami kegagalan perniagaan dalam talina pertamanya pada 2002, Nick Woodman yang merupakan pengasas GoPro, Inc memutuskan membawa diri dengan pergi melakukan aktiviti luncur air di Australia dan Indonesia.
Bagaimanapun, ketika bergiat dalam sukan tersebut, beliau menyedari mengenai kesukaran untuk merakam aksi meluncur dari sudut dekat menggunakan peralatan kamera amatur yang tersedia.
Isu itu mendorongnya mencipta kamera yang boleh dipakai pada pergelangan tangan, sekali gus membolehkannya merakam aksi sukan dengan lebih mudah.
Untuk membiayai ideanya, Woodman meminjam duit daripada bapanya dan dan mesin jahit milik ibunya.
Beliau dan isterinya, Jill, juga menjual tali pinggang manik dan cengkerang yang dibeli di Bali, untuk mendapat dana tambahan.
Dengan sumber tersebut, Nick mula mereka bentuk dan menjahit tali kamera di rumahnya di California, Amerika Syarikat (AS) bagi menghasilkan prototaip awal kamera GoPro dengan kamera 35mm.
Pada 2004, GoPro melancarkan produk pertamanya, kamera filem 35mm yang dipasang pada pergelangan tangan.
Nick pernah mencapai status bilionair dengan kekayaan bersih sekitar $1.3 bilion (RM4.3 bilion) pada 2014.
Pada tahun lalu, GoPro, Inc. mencatatkan pendapatan tahunan sebanyak $801 juta (RM3.6 bilion).
4. Jeff Bezos
Kediaman yang menjadi tempat kepada lahirnya Amazon sehingga meletakkan Jeff (kiri) sebagai antara orang terkaya di dunia. — Agensi
Jeff Bezos memulakan Amazon dari garaj rumahnya di Bellevue, Washington, AS pada 1994.
Beliau sebelum itu mengambil keputusan besar meninggalkan pekerjaannya sebagai naib presiden sebuah firma pelaburan di Wall Street.
Pada asalnya, Amazon hanya beroperasi sebagai sebuah kedai buku dalam talian yang beliau jalankan bersama isterinya ketika itu, MacKenzie Scott.
Bagaimanapun, Jeff ketika itu melihat potensi internet yang semakin berkembang dan akhirnya membangunkan Amazon menjadi platform e-dagang terbesar di dunia yang menawarkan pelbagai produk selain buku.
Pada hari ini, Amazon adalah salah satu syarikat paling bernilai di dunia dan merangkumi pelbagai sektor seperti AWS (pengkomputeran awan), kecerdasan buatan (AI), runcit, dan penstriman digital serta hiburan.
Sehingga Disember 2024, kekayaan bersih Jeff dianggarkan sekitar $251 bilion (RM1.1 trilion). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram