Melaka jadi pelopor sedia dokumen lafaz taklik dalam tulisan Braille


  • Massa
  • Jumaat, 27 Jun 2025

JAIM melancarkan Buku Panduan Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk serta Lafaz Taklik dalam Braille. — Gambar hiasan

MELAKA mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi negeri pertama di Malaysia menyediakan lafaz taklik dalam tulisan Braille bagi memudahkan golongan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan menjalani proses akad nikah.

Inisiatif julung kali itu diumumkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sempena sambutan Maal Hijrah 1447H yang berlangsung di Masjid Al-Hakeem, Kampung Tehel, Melaka, pada Khamis.

Ab Rauf berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dengan pelancaran Buku Panduan Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk serta Lafaz Taklik dalam Braille dalam versi bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

BACA LAGI: 'Suami lafaz taklik sesuka hati, kemudian menyesal', peguam syarie perjelas implikasi terhadap rumah tangga

BACA LAGI: [VIDEO] Mahkamah sahkan berlaku pelanggaran lafaz taklik, Ira Kazar dan Syamsul Yusof bercerai talak satu

Ab Rauf ketika berucap di Masjid Al-Hakeem, Kampung Tehel, Melaka, sempena sambutan Maal Hijrah 1447H pada Khamis malam. — Facebook/Ab Rauf Yusoh

"Penyediaan dokumen Braille ini membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap inklusi sosial dan kesejahteraan seluruh lapisan rakyat, termasuk komuniti OKU yang sering terpinggir dalam urusan rasmi keagamaan.

"Ia juga mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan semua golongan rakyat terbela," katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM86,000 bagi menghargai sumbangan kesemua penerima anugerah, dalam usaha mengangkat tokoh yang menyumbang kepada pembangunan Islam dan kemasyarakatan.

Majlis sambutan itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada 12 individu cemerlang, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd, Datuk Azmar Talib yang menerima Anugerah Abu Bakar As-Siddiq, berupa wang tunai RM10,000 beserta pakej umrah.

Mengukuhkan lagi sambutan tahun baru Islam kali ini, JAIM dan kerajaan Melaka merangka lebih 30 program sepanjang Muharram untuk mengimarahkan sambutan bersama masyarakat setempat.

"Semoga sambutan ini memperkukuh ukhwah, membawa keberkatan dan menanam nilai MADANI dalam jiwa masyarakat," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram