
JEPUN terkenal sebagai negara dengan perkhidmatan restoran bertaraf tinggi dan tahap piawaian sempurna, yang mana kesilapan jarang berlaku.
Namun, sebuah restoran pop-up di Tokyo memilih untuk bergerak ke arah sebaliknya, dengan satu matlamat yang sangat menyentuh hati.
Dikenali sebagai The Restaurant of Mistaken Orders atau Restoran Pesanan Tersilap, premis unik itu menggaji pelayan yang semuanya merupakan individu penghidap dementia.
Ia sekali gus menjadikan restoran berkenaan bukan sekadar tempat makan, tetapi ruang pendidikan dan empati sosial.
Kesilapan kecil yang berlaku secara tidak sengaja menjadi daya tarikan utama restoran tersebut, lebih penting daripada makanan yang dipesan.
Suasana restoran penuh dengan gelak tawa pelanggan yang terhibur melihat situasi yang mereka terima secara tidak dijangka.
Anda minta ladu, tetapi dapat sup miso. Anda pesan ikan bakar, tapi yang sampai ialah sushi.
Kadangkala, anda mungkin menerima kopi bersama straw!
Pengarah televisyen Jepun, Shiro Oguni mencetuskan idea restoran itu sebagai usaha mengubah persepsi terhadap penuaan dan kemerosotan kognitif.
Dementia merupakan istilah umum bagi kemerosotan dalam ingatan, pembelajaran dan kemahiran komunikasi.
Ia boleh disebabkan oleh pelbagai keadaan termasuk penyakit Alzheimer, iaitu satu bentuk dementia yang khusus.
Acara pertama restoran itu dianjurkan pada 2017 dan diulang beberapa kali sejak itu.
Untuk memulakan projek tersebut, lebih AS$115,000 (RM500,000) dikumpulkan melalui platform pendanaan awam.
Suasana restoran penuh dengan gelak tawa pelanggan yang terhibur melihat gelagat pelayan. — Agensi
Hormat
Idea itu muncul apabila Oguni sendiri disajikan ladu menggantikan burger ketika melawat sebuah rumah penjagaan.
Pada mulanya, beliau mahu mengembalikan pesanan tersebut, tetapi kemudian sedar bahawa dirinya berada di dunia berbeza, dunia yang berfungsi dengan cara tersendiri dan kesilapan itu tidak menyakitkan pun.
"Jadi, mengapa tidak terima sahaja dengan hati terbuka sebagai tanda hormat kepada cabaran yang dihadapi penghuni di situ?" ujarnya.
Oguni juga menggalakkan agar inisiatif berkenaan dikembangkan di tempat lain.
Laman web projek itu menyediakan maklumat dan saluran komunikasi kepada sesiapa sahaja di seluruh dunia yang berminat menganjurkan acara serupa.
Malah, program sedemikian telah mengilhamkan usaha seumpamanya di Korea Selatan dan Australia.
Ia memerlukan perancangan rapi dan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk profesional restoran, pereka dalaman, badan kebajikan sosial dan organisasi yang sudah pun membantu golongan dementia.
Kesilapan kecil yang berlaku secara tidak sengaja menjadi daya tarikan utama restoran tersebut. — Agensi
Menariknya tentang projek itu, ia menampilkan individu dengan dementia sebagai gembira, rajin, penyayang, berkomunikasi dan berhati mulia.
Video dokumentasi projek itu memaparkan kakitangan warga emas dalam seragam ringkas dan ceria, kelihatan bersemangat serta produktif seperti orang muda.
Daripada melihat dementia sebagai sesuatu yang menakutkan, menyedihkan dan memencilkan, pengalaman di restoran tersebut menjadikan reaksi pelanggan sebaliknya.
Mereka menyifatkannya sebagai comel, menggembirakan, lucu, mesra dan selesa.
Dengan meletakkan warga dementia di barisan hadapan sebagai pelayan, mereka menunjukkan kepada dunia bahawa golongan ini masih mampu berfungsi, menyumbang dan menyebarkan kegembiraan kepada pelanggan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram