[VIDEO] Cinta tak pernah luntur, irama piano jadi saksi kasih sejati pasangan usia 80-an di Sunway Sanctuary


  • Cinta
  • Isnin, 23 Jun 2025

Para penghuni Sunway Sanctuary sedang mengikuti aktiviti senaman menggunakan kerusi.

SETIAP petang, alunan piano lembut sering mengisi ruang utama Sunway Sanctuary, Subang Jaya, Selangor.

Duduk tenang di hadapan piano itu ialah seorang wanita warga emas, Dr. K bersama suaminya yang setia menemani di sisi.

Pasangan dalam lingkungan usia 80-an itu sering menjadi perhatian buat pekerja kerana kemesraan mereka yang menyentuh hati.

BACA LAGI: Dakwaan jangkitan herpes berpunca dari seks oral sahaja tidak tepat, masyarakat perlu cakna cara sebenar virus tersebar

BACA LAGI: RM10,000 dalam akaun ASB anak tiba-tiba lesap, pentingnya didikan urus kewangan sejak kecil

Kisah pasangan romantis itu dikongsi oleh Muhammad Alif Afiq yang juga merupakan petugas bahagian rekreasi dan hiburan di Sunway Sanctuary. 

"Dr. K suka main piano, suaminya pula duduk setia di sebelah dengan menggunakan kerusi yang sama. Kadang Dr K nak turun bermain mahjong, suami dia sanggup hantar dari bilik sampai ke ruangan permainan. 

"Ramai staf yang tersentuh tengok kemanisan sikap mereka,” katanya kepada Majoriti.

Muhammad Alif Afiq merupakan petugas bahagian rekreasi dan hiburan di Sunway Sanctuary. 

Sunway Sanctuary bukan sekadar kediaman mewah untuk warga emas, tetapi sebuah komuniti yang menekankan nilai kekeluargaan, kasih sayang dan kualiti hidup.

Alif berkata, di situ, penghuni bukan sahaja dijaga secara fizikal, malah diberi ruang untuk terus merasa dihargai, dirai dan dicintai.

“Matlamat utama aktiviti di sini adalah untuk memastikan mereka kekal sihat, bermotivasi dan gembira.

"Ramai yang datang dalam keadaan murung, tidak bersemangat.

"Tapi selepas beberapa sesi bersama kami, mereka mula berubah menjadi lebih bermotivasi,” katanya.

Salah satu aktiviti yang dibuat setiap pagi di Sunway Sanctuary ialah senaman menggunakan kerusi. 

Uniknya, sesi itu digabungkan dengan muzik pilihan penghuni iaitu dari lagu-lagu klasik Cina sehinggalah lagu Melayu yang sentimental.

“Kadang-kadang ada yang minta pasangkan lagu tertentu. Saya akan catat apa yang pereka minta dan putarkan pada sesi seterusnya. Lagu itu beri tenaga dan semangat,” katanya.

Alif menjelaskan bahawa pemilihan lagu memainkan peranan penting dalam mengubah mood penghuni. 

“Kalau lagu terlalu perlahan, mereka akan jadi mengantuk. Jadi kami pilih lagu yang boleh gerakkan emosi dan tubuh mereka.

"Walaupun duduk di atas kerusi roda, tangan, kaki tetapi semuanya akan ikut bergerak bila muzik dimainkan,” tambahnya.

Selain senaman dan muzik, pelbagai aktiviti lain turut dijalankan seperti terapi seni, kaligrafi serta kelas mahjong. 

Setiap acara diatur rapi untuk memastikan semua penghuni dapat mengambil bahagian dan merasa seronok.

Tidak hanya itu, Alif berkata, setiap bulan, petugas akan menyambut ulang tahun para penghuni di situ agar mereka berasa disayang. 

“Setiap bulan kami akan umumkan nama yang lahir bulan itu. Kami potong kek, main muzik, menari dan menyanyi sama-sama. 

"Suasana itu memang meriah. Kadang-kadang ada anak penghuni telefon, minta tolong raikan hari jadi ibu atau ayah mereka,” katanya.

Menurut Alif, sambutan-sambutan seperti itu bukan sekadar acara biasa, tetapi satu usaha untuk membuat setiap penghuni rasa disayangi.

“Kami nak buat mereka berasa bahawa hubungan kami dengan mereka rapat, macam keluarga sendiri,” ujarnya.  Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di  Twitter ,  Facebook ,  Instagram ,  WhatsApp Channel  dan  Telegram