
ISTILAH brain rot kini semakin menular dalam kalangan ibu bapa muda yang merujuk kepada kesan kandungan video pendek tidak berkualiti, terutama shorts kartun di YouTube.
Membawa pengaruh buruk terhadap si kecil, konsep video berkenaan mempengaruhi tumpuan, emosi serta tingkah laku mereka ke arah negatif.
Meskipun belum diiktiraf dan didiagnosis secara klinikal, ia menjadi isu hangat dalam kalangan ibu bapa ekoran kebergantungan si kecil terhadap video pendek berulang yang dikatakan mengganggu perkembangan kognitif serta sosial mereka.
BACA LAGI: Aktiviti berkebun, ternak ayam, cara Meghan didik anak erti sabar, hargai makanan
Jenis video shorts kartun Brain Rot
Shorts merujuk kepada video berdurasi 15 hingga 60 saat yang sering dimuat naik di platform sosial seperti YouTube.
Antara ciri dan kriteria video shorts Brain Rot ialah:
- Berulang-ulang
- Visual terlalu terang dan pantas.
- Lagu-lagu tidak senonoh atau terjemahan pelik.
- Tiada nilai pendidikan atau naratif yang jelas.
Kandungan video sedemikian mempengaruhi perkembangan dan tindak balas otak kanak-kanak terutamanya apabila ditonton secara berlebihan sebelum usia enam tahun.
Tanda-tanda anak Brain Rot
Perubahan emosi serta tingkah laku anak akan mula kelihatan sekiranya terlampau taksub dengan video kartun.
Lebih parah, isu tantrum dan memberontak akan berlaku jika kehendak mereka tidak dituruti dan berkit merupakan antara simptom awal boleh dikenal pasti:
- Cepat marah atau gelisah jika gajet diambil.
- Kurang tumpuan walaupun hanya untuk aktiviti mudah.
- Lambat bercakap atau meniru gaya dan bahasa pelik dari video.
- Kurang interaksi sosial dan tidak suka bermain secara fizikal.
Cara padam shorts di YouTube
Sebagai langkah awal pencegahan, ibu bapa disarankan segera memadam fungsi video shorts di You Tube bagi mengawal kandungan bahan tontonan si kecil.
- Buka aplikasi YouTube anak > tekan ikon shorts lama-lama > pilih not interested beberapa kali.
- Log masuk melalui YouTube web > dalam tetapan History & Privacy, padam search dan watch history berkaitan kartun berulang.
Dalam pada itu, ibu bapa digalakkan untuk menggunakan aplikasi YouTube Kids yang direka serta dicirikan khas untuk golongan kanak-kanak.
Berbeza dengan platform biasa, laman sosial itu lebih tersusun dan selamat ditonton dengan kelengkapan pelbagai ciri keselamatan yang membolehkan tontonan mereka dipantau dari semasa ke semasa.
- Muat turun YouTube Kids dan tetapkan umur serta jenis kandungan.
- Pilih mod Approved content only untuk paparan lebih terkawal.
- Muat turun aplikasi Google Family Link yang berperanan mengehadkan masa dan jenis aplikasi boleh dibuka anak.
Peranan ibu bapa pantau tontonan video anak
Dalam dunia digital yang semakin berkembang pesat kini, gajet dan telefon pintar sudah menjadi rutin harian serta keperluan setiap golongan termasuk kanak-kanak.
Tidak meletakkan kesalahan 100 peratus terhadap peranti itu, namun ibu bapa perlu memainkan tanggungjawab dalam menapis segala gejala serta pengaruh negatif terhadap golongan kanak-kanak.
Justeru, segera elakkan pendedahan berlebihan anak-anak kepada video pendek berulang yang tiada nilai atau si kecil berisiko tinggi berdepan isu perkembangan seperti lewat bercakap, autisme dan banyak lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram