Montessori, Reggio Emilia, waldorf, highscope kaedah pembelajaran berbeza, ada unik tersendiri — Pakar


  • Bonda
  • Khamis, 26 Jun 2025

Perkembangan dan daya kreativiti kanak-kanak mula terbentuk di peringkat tadika. —​​​​​​​ Gambar hiasan/Freepik

SETIAP ibu bapa mahukan yang terbaik buat anak-anak sama ada dari segi tumbesaran ataupun pendidikan mereka.

Seiring perkembangan teknologi semasa, pendidikan si kecil juga melalui fasa penambahbaikan yang menyaksikan pelbagai kaedah dipraktikkan bermula peringkat tadika.

Tidak lagi sekadar menumpukan kepada pembelajaran abjad dan nombor, pendidikan masa kini lebih menjurus kepada perkembangan menyeluruh merangkumi emosi, kreativiti, sosial dan keupayaan kognitif kanak-kanak.

BACA LAGI: Pengaruh 'Brain Rot' makin berleluasa, cara mudah ibu bapa padam kartun di 'shorts' YouTube, cegah sebelum terlewat

BACA LAGI: Tengku Puteri Jihan angkat warisan tekstil Malaysia ke pentas antarabangsa, Jihans Studio sertai UCA Grad Show 2025

Antara pendekatan paling popular di pusat jagaan dan prasekolah swasta di Malaysia termasuk kaedah Montessori, Reggio Emilia, waldorf dan highScope.

Setiap pendekatan membawa kelainan dan keunikan tersendiri dalam mendekati potensi si kecil sama ada melalui aktiviti kreatif, pembelajaran kendiri, rutin harian atau hubungan dengan alam sekitar.

Pakar Pendidikan Khas Awal Kanak-Kanak, Dila Khairuddin menerusi laman Threads menghuraikan beberapa fakta dan penerangan berkaitan keempat-empat kaedah didikan di taska tersebut.

1. Montessori – Belajar secara kendiri, ikut kemahuan anak

Kaedah Montessori menekankan konsep pembelajaran secara kendiri. Diasaskan oleh Dr. Maria Montessori, pendekatan tersebut memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menguji keupayaan dan belajar melalui pengalaman sendiri.

Dalam kelas Montessori, kanak-kanak bebas memilih aktiviti mereka berdasarkan minat, namun tetap berada dalam persekitaran yang terancang.

Kebiasaannya guru akan menyediakan tugasan tertentu yang menekankan koordinasi motor halus, deria dan logik.

Aktiviti dalam kaedah tersebut banyak berunsurkan hands-on contohnya menuang air, mengasingkan butang mengikut warna atau menyusun blok berdasarkan saiz.

Kelebihan utama: Menggalakkan pembelajaran aktif, berdikari dan tanggungjawab sejak kecil.

2. Reggio Emilia – Belajar berdasarkan minat

Reggio Emilia merupakan pendekatan pendidikan yang berpaksikan kepada minat kanak-kanak.

Dalam sistem itu, guru bertindak sebagai pemudah cara yang memerhati minat murid, kemudian merancang pembelajaran berdasarkan pemerhatian dibuat.

Contohnya, jika kanak-kanak tertarik dengan serangga, kelas akan menjadikan topik bug exploration sebagai projek utama, lengkap dengan aktiviti seni dan lawatan luar.

Kedah Reggio Emilia juga sangat mementingkan ekspresi kreatif seni lukis, binaan, fotografi serta penggunaan bahan semula jadi untuk membantu anak menyampaikan idea mereka.

Kelebihan utama: Meningkatkan kreativiti, pemikiran kritikal dan kemahiran menyampaikan idea secara bebas.

Young mother and little boy joyful playing with colorful wooden learning toy on the bed, copy space

Setiap taska menggunakan pendekatan dan kaedah didikan berbeza-beza. — Gambar hiasan/Freepik

3. Waldorf – Kembali kepada alam dan kehidupan semula jadi

Kaedah Waldorf memberi penekanan kepada perkembangan holistik menyentuh fizikal, emosi, mental dan semangat.

Berbanding pendekatan lain, Waldorf sangat menekankan kepentingan bermain bebas, ekspresi seni, muzik, cerita dongeng dan aktiviti luar.

Teknologi sama sekali tidak digunakan sebaliknya, persekitaran pembelajaran direka untuk memberi rasa selesa dan dekat dengan alam semula jadi.

Aktiviti seperti menyulam, membuat roti atau mendengar cerita dongeng adalah rutin kebiasaan dalam kelas Waldorf.

Kelebihan utama: Membentuk anak yang seimbang secara emosi, penuh empati dan menghargai proses pembelajaran secara semula jadi.

4. HighScope – Pilihan bebas dan rutin yang teratur

HighScope ialah kaedah pendidikan yang menekankan penglibatan aktif kanak-kanak dalam pembelajaran dalam rangka rutin harian yang konsisten.

Pendekatan itu memberi kebebasan kepada kanak-kanak untuk memilih aktiviti sendiri, tetapi dalam suasana yang berstruktur dan selamat.

Anak-anak diajar untuk merancang aktiviti mereka, melaksanakannya dan kemudian berbincang tentang apa yang mereka pelajari.

Langkah itu membina keupayaan mereka dalam membuat keputusan dan bertanggungjawab terhadap tindakan sendiri.

Kelebihan utama: Meningkatkan keupayaan dalam membuat keputusan, disiplin kendiri dan pembelajaran berfokus.

Justeru, setiap kaedah pendidikan mempunyai kekuatan dan matlamat tersendiri.

Sebagai ibu bapa, pemilihan taska atau tadika bukan sekadar soal lokasi atau yuran, tetapi perlu mempertimbangkan kesesuaian pendekatan dengan personaliti anak masing-masing.

Paling utama adalah persekitaran yang positif, dorongan dan memberi peluang mereka belajar secara menyeluruh kerana usia kanak-kanak merupakan fasa tumbesaran paling kritikal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram