Setiap bayi lalui 'timeline' berbeza, 10 fasa perkembangan pertuturan perlu diketahui ibu bapa


  • Bonda
  • Rabu, 25 Jun 2025

Setiap kanak-kanak melalui fasa tumbesaran dan perkembangan bahasa berbeza-beza. — Gambar hiasan/Freepik

PERKEMBANGAN bahasa dalam kalangan kanak-kanak merupakan antara tonggak utama dalam proses tumbesaran si kecil.

Namun, masih ramai ibu bapa luar sana belum cakna akan tumbesaran pertuturan anak yang secara saintifiknya berkembang secara semula jadi.

Lebih parah apabila segelintir daripadanya terlalu bimbang apabila anak menunjukkan tanda-tanda lambat bercakap, sedangkan sesetengah situasi, ia adalah perkara yang normal dan boleh dibantu.

BACA LAGI: Pengaruh 'Brain Rot' makin berleluasa, cara mudah ibu bapa padam kartun di 'shorts' YouTube, cegah sebelum terlewat

BACA LAGI: Tengku Puteri Jihan angkat warisan tekstil Malaysia ke pentas antarabangsa, Jihans Studio sertai UCA Grad Show 2025

Menurut Pakar Terapi Pertuturan, Nur Ayzu Azwin, ibu bapa sering terpengaruh dengan tanggapan negatif dan maklumat kurang tepat mengenai perkembangan bahasa anak-anak.

Katanya, dengan pengetahuan dan kaedah yang betul, ibu bapa bukan sahaja dapat mengurangkan kebimbangan malah mampu memberikan sokongan tepat kepada anak pada waktu yang sesuai.

Berikut adalah 10 fakta penting tentang perkembangan bahasa kanak-kanak yang sering disalah erti dan wajak diketahui se,ua ibu bapa.

Nur Ayzu Azwin tegas menyatakan bahawa perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak bersifat semula jadi.

1. Lambat bercakap tidak bermakna anak kurang bijak

Anak yang lewat pertuturannya tidak semestinya tidak pandai dalam akademik.

Menurut Nur Ayzu di laman Threads,golongan kanak-kanak sedemikian masih boleh memahami banyak perkara dan mungkin menguasai lebih banyak ilmu berbanding rakan seusia mereka.

Oleh itu, ibu bapa perlu tetap melayan anak seiring dengan usia dan tidak melayan mereka seperti bayi.

2. Bukan salah ibu bapa sepenuhnya

Isu anak lewat bercakap tidak semestinya berpunca daripada kesilapan dan kecuaian ibu bapa.

Ia mungkin disebabkan faktor genetik, masalah pendengaran atau perkembangan semula jadi anak yang perlahan daripada kebiasaan dan ibu bapa perlu segera menjalankan pemeriksaan lanjut hospital.

Kaedah terapi dan pergaulan daripada pakar mampu membantu tumbesaran si kecil dalam percakapan serta pergaulan sosial.

3. Setiap anak mempunyai timeline berbeza

Perkembangan setiap anak adalah unik dan tidak boleh dibanding-bandingkan dengan kanak-kanak lain.

Walau bagaimanapun, terdapat garis masa perkembangan normal yang perlu dijadikan panduan setiap kanak-kanak bermula seawal usia kelahiran.

Jika anak berumur dua tahun masih belum mampu menyebut sekurang-kurangnya 50 patah perkataan, ibu bapa dinasihatkan untuk merujuk ke pakar bagi penilaian lanjut.

4. Skrin bukan alat pembelajaran

Pendedahan berlebihan kepada skrin peranti seperti gajet dan televisyen tidak membantu perkembangan bahasa dengan baik.

Kanak-kanak memerlukan komunikasi secara langsung iaitu interaksi mata ke mata dan mulut ke mulut sebagai proses pertuturan yang berkesan.

Tidak dinafikan, pembelajaran secara atas talian dan video di laman sosial semakin mendominasi ketika ini, namun ia perlu dikawal dengan bijak.

5. Bermain kaedah pembelajaran terbaik

Perkembangan bahasa anak lebih banyak dipupuk melalui aktiviti bermain, bukan semata-mata dengan penggunaan kad imbas atau buku.

Aktiviti seperti bermain masak-masak atau sukan bola sepak mampu memberi pendedahan bahasa yang jauh lebih berkesan.

6. Jangan paksa anak sebut perkataan

Bahasa dan pertuturan anak akan berkembang melalui proses mendengar, memahami, meniru dan seterusnya menyebut.

Memaksa anak untuk terus menyebut perkataan secara tergesa-gesa hanya akan mengganggu dan memberi tekanan terhadap proses semula jadi tersebut.

7. Pelat adalah fasa normal

Sebutan pelat adalah normal bagi kanak-kanak di bawah usia lima tahun.

Namun, jika selepas umur enam tahun anak masih mengalami masalah sebutan yang jelas, ibu bapa disarankan mendapatkan penilaian lanjut.

8. Lambat bercaskap tapi cepat faham

Ada kanak-kanak yang lambat bertutur tetapi sebenarnya sudah memahami banyak arahan dan perkataan.

Ini menandakan kefahaman bahasa mereka berada di landasan yang betul, namun kemahiran bertutur mereka masih dalam proses perkembangan.

9. Bahasa dan perlakuan

Pertuturan berkembang melalui hubungan dan interaksi yang berkualiti.

Bercakap, bercerita, bertanya soalan dan memberi reaksi kepada anak adalah salah satu cara terbaik untuk merangsang perkembangan bahasa mereka.

Semakin baik hubungan itu terjalin, maka besar juga peluang anak-anak untuk fasih berkomunikasi.

10. Intervensi awal sangat penting

Istilah dan persepsi 'pandai sendiri' menjadi antara faktor terbesar isu kelewatan pertuturan anak.

Tanggapan dan sikap ambil mudah ibu bapa sering kali menjadi punca hal tersebut tiada jalan penyelesaian dan lebih parah jika usia sikecil sudah menjangkau lima tahun ke atas.

Maka, intervensi awal dapat membantu anak belajar dengan lebih berkesan dan ibu bapa juga akan lebih yakin dalam menyokong perkembangan anak.

Justeru, perkembangan bahasa anak adalah proses yang kompleks dan unik bagi setiap individu.

Memahami peringkat dan keperluan perkembangan si kecil dapat membantu ibu bapa terhindar daripada isu mengelakkan kebimbanganmelampau yang boleh memudaratkan masa depan anak.

Jika terdapat keraguan atau tanda-tanda kelewatan yang membimbangkan, segera dapatkan rawatan awal agar tumbesaran mereka dapat berkembang secara optimum. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram