
DALAM usia seawal dua tahun, kanak-kanak di sebuah sekolah tadika di China sudah diajar melakukan pelbagai aktiviti kehidupan harian seperti menjahit, memasak dan menyediakan jus sekali gus mencetuskan kekaguman ramai.
Rakaman video yang dimuat naik oleh seorang wanita, Molly Teacher di media sosial memaparkan keunikan pendekatan pendidikan awal yang diterapkan di tadika berkenaan.
“Aktiviti untuk kanak-kanak kami yang berumur 2 hingga 3 tahun," kata beliau menerusi kapsyen.
Dalam video tersebut, kelihatan seorang budak perempuan kecil sedang tekun menjahit, manakala beberapa rakan sebayanya sibuk mengetuk biskut Oreo untuk digunakan dalam masakan.
Tidak cukup dengan itu, seorang lagi kanak-kanak dilihat menyediakan jus oren di sudut dapur kecil yang lengkap disediakan kemudahan khas untuk mereka.
Keunikan pendekatan pembelajaran itu menarik perhatian warga maya yang memuji sistem pendidikan tadika berkenaan kerana berjaya mendedahkan anak-anak kepada kemahiran hidup sejak usia muda.
Seorang pengguna, Anita Pluchino yang merupakan bekas guru tadika kagum melihat cara guru di situ mendidik kanak-kanak.
“Sebagai bekas guru tadika, aktiviti seperti ini jauh lebih baik daripada apa yang kami lakukan di negara saya.
"Saya harap kami boleh belajar daripada mereka. Kanak-kanak lima tahun sebenarnya mampu buat lebih daripada apa yang disediakan oleh sistem kami sekarang," katanya.
Individu lain, Natalie J DeRasmi Saeger juga menganggap kanak-kanak itu akan lebih bersedia menghadapi banyak hal di kehidupan.
"Saya suka melihat kanak-kanak kecil belajar untuk berdikari. Mereka akan lebih bersedia menghadapi pelajaran serius selepas ini. Ini satu pengajaran yang sangat berguna," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram