Simptom gejala penarikan kafein mungkin lebih ketara terhadap wanita — Pakar pemakanan


  • Sihat
  • Rabu, 25 Jun 2025

Sakit kepala merupakan antara simptom penarikan kafeinyang paling konsisten dan sah secara klinikal.

ANDA mungkin fikir menghentikan secawan kopi harian bukan isu besar.

Namun, hakikatnya penarikan kafein atau caffeine withdrawal sebenarnya melibatkan sindrom dari sudut perubatan sama ada untuk golongan lelaki mahupun wanita.

Menurut Timbalan Dekan (Akademik Sains Kesihatan dan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, Profesor Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof, dianggarkan antara 10 hingga 55 peratus pengguna kafein berdepan gejala penarikan apabila pengambilan kafein dihentikan atau dikurangkan secara mendadak.

BACA LAGI: Kerap ambil kafein undang risiko hipertensi, sakit jantung

BACA LAGI: Kandungan gugur dan bayi kurang berat antara risiko ibu hamil kerap hadam kafein

Wanita mungkin lebih terkesan dengan gejala penarikan kafein.

Malah ujarnya, simptom boleh muncul walaupun seseorang hanya mengambil sekitar 100 miligram (mg) kafein sehari, bersamaan satu cawan kopi biasa.

"Berdasarkan kajian diterbitkan dalam Drug and Alcohol Dependence pada 2020, simptom penarikan kafein biasanya bermula dalam tempoh 12 hingga 24 jam, memuncak antara 20 hingga 51 jam dan boleh berlanjutan sehingga sembilan hari," katanya kepada Majoriti.

Berdasarkan kajian semakan terhadap lebih 60 kajian eksperimen dan tinjauan, berikut adalah simptom yang paling konsisten dan sah secara klinikal:

1) Sakit kepala (paling lazim, dilaporkan oleh lebih 50 peratus individu).

2) Kelesuan dan kekurangan tenaga.

3) Mengantuk, kurang fokus dan kepekaan mental.

4) Mood murung dan mudah marah.

5) Sukar menumpukan perhatian.

6) Simptom seperti selesema, mual, muntah, sakit atau kekejangan otot.

Dr. Barakatun Nisak

Dr Barakatun Nisak turut menekankan, wanita mungkin lebih terkesan dengan gejala tersebut terutamanya disebabkan perubahan hormon semasa kitaran haid, kehamilan atau pengambilan pil hormon.

Hormon estrogen jelasnya, boleh mempengaruhi kadar metabolisme kafein dalam tubuh wanita.

“Apabila metabolisme berubah akibat hormon, kepekaan terhadap kafein turut berubah, menjadikan pengurangan mendadak lebih mencabar bagi sesetengah wanita," katanya.

Beliau menambah, berdasarkan bukti kukuh, sindrom penarikan kafein diiktiraf dalam dua sistem diagnostik utama.

"DSM-5 (Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders) oleh Persatuan Psikiatri Amerika mengklasifikasikan penarikan kafein sebagai satu gangguan kesihatan mental yang sah.

"ICD-11 (International Classification of Diseases) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia pula memasukkan penarikan dan ketagihan kafein sebagai sebahagian daripada gangguan akibat penggunaan bahan," jelasnya lagi.

Langkah saintifik elak gejala penarikan:

Bagi individu yang ingin berhenti atau mengurangkan kafein, berikut adalah beberapa cadangan berdasarkan pendekatan saintifik dan tingkah laku pengguna:

1) Kurang secara berperingkat

Jangan hentikan secara mengejut. Kurangkan sedikit demi sedikit setiap beberapa hari.

2) Ganti minuman alternatif

Gantikan dengan alternatif rendah atau tanpa kafein, seperti teh herba atau kopi tanpa kafein (decaf).

Menariknya, kajian oleh Universiti Sydney, Australia mendapati minum kopi tanpa kafein boleh mengurangkan simptom, walaupun pengguna sedar minuman itu tidak mengandungi kafein.

Fenomena itu dikenali sebagai open-label placebo effect.

Gantikan kebergantungan terhadap kafein dengan tidur yang berkualiti.

3) Pastikan tubuh kekal terhidrat

Dehidrasi boleh memburukkan gejala seperti sakit kepala dan keletihan.

Tidur dan rehat mencukupi dan gantikan kebergantungan terhadap kafein dengan tidur yang berkualiti.

4) Pilih masa sesuai untuk berhenti

Elak memulakan pengurangan kafein semasa minggu peperiksaan atau tempoh kerja yang stres.

Lelaki lebih banyak ambil kafein

Secara amnya, lelaki mengambil lebih banyak kafein secara keseluruhan berbanding wanita, terutamanya melalui kopi dan minuman tenaga.

Beberapa kajian menunjukkan lelaki bukan sahaja meminum lebih banyak kopi, malah lebih cenderung mengambil produk berkafein berasaskan prestasi seperti minuman tenaga dan suplemen senaman.

Sebagai contoh, kajian pemakanan di Amerika Syarikat (AS) mendapati pengambilan purata harian kafein bagi lelaki ialah sekitar 218mg, manakala bagi wanita pula sekitar 167mg sehari.

Namun begitu, kajian juga menunjukkan wanita lebih kerap mengambil kafein daripada pelbagai sumber seperti teh, terutama dalam kalangan wanita Asia.

"Ia termasuk minuman ringan seperti soda, coklat dan makanan bergula serta berkafein.

"Selain itu, wanita juga cenderung mengambil ubat penahan sakit atau ubat selsema yang mengandungi kafein," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram